Pustaka Negeri Sarawak cawangan Miri mengalu-alukan pelbagai pihak untuk melaksanakan program di Pusat Komuniti Digital (DCC) Bakam bagi menghidupkan kembali suasana di DCC tersebut yang dilihat semakin sunyi kerana tiada pengunjung.
Kewujudan DCC Bakam adalah salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menyediakan platform perkhidmatan serta sokongan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat di kawasan tersebut yang memerlukan perkhidmatan internet serta kemudahan ICT.
Hal ini kerana, penggunaan ICT di kawasan luar bandar termasuk di kawasan Bakam ini amat penting kerana ia dilihat mampu mempertingkatkan pembangunan setempat terutama dari aspek sosial dan ekonomi.
Bahkan, matlamat kerajaan untuk melakukan transformasi luar bandar dari aspek sosial dan ekonomi mungkin tidak akan dapat direalisasikan tanpa penggunaan teknologi ICT dan internet.
Secara dasarnya, DCC adalah tempat di mana kemudahan ICT seperti komputer, akses Internet, latihan, dan program pembangunan sosial disediakan kepada masyarakat luar bandar.
DCC juga merupakan tempat awam di mana orang ramai dapat mencari maklumat, membuat kerja, belajar, dan berkomunikasi dengan orang lain dengan menggunakan kemudahan-kemudahan ICT dan internet yang disediakan.
Namun begitu, menurut pegawai daripada Pustaka Cawangan Miri ketika ditemu bual RAKAN Sarawak memberitahu bahawa suasana di DCC Bakam tidak lagi meriah seperti pada awal kewujudannya.
Jelas beliau, pada awal kewujudan DCC Bakam, pelbagai program menarik sering dilaksanakan antaranya bengkel PANDei, program Go Digital ASEAN dan sebagainya.
Namun begitu, sejak lebih setahun yang lalu, penganjuran program di DCC ini tidak lagi aktif seperti pada mula-mulanya disebabkan kekangan tenaga kerja.
Jika dilihat kepada objektif utama penubuhan DCC Bakam ini, ia adalah bertujuan untuk memperkasakan kemahiran dan keupayaan bakat komuniti yang lestari agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana transformasi ekonomi digital negeri Sarawak.
Dengan harapan, melalui DCC Bakam ini, ia akan dapat membantu dari segi pembangunan sosioekonomi serta rantaian bekalan kepada pengusaha tempatan kerana program yang disasarkan untuk dilaksanakan di DCC Bakam ini juga boleh berkait rapat dengan perkara ini.
Difahamkan, pembinaan DCC Bakam ini juga telah mendapat tempat di hati pemimpin tempatan serta mendapat perhatian khusus daripada wakil-wakil rakyat di kawasan ini apatah lagi ianya dilihat dapat mempertingkatkan kesedaran dan ketersediaan digital untuk keperluan semasa dan masa hadapan.
Sebagai contohnya, pada awal kewujudannya, DCC Bakam hanya menumpang di bangunan Bilik Gerakan Biro Wanita Kampung Bakam, namun setelah itu, wakil rakyat telah menyerahkan bangunan tersebut sepenuhnya kepada pihak Pustaka Negeri bagi menjalankan projek DCC.
Begitu juga dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sentiasa membantu dalam memastikan keselesaan tempat tersebut untuk kegunaan penduduk setempat.
Walau bagaimanapun, melihat kepada situasi yang dialami DCC Bakam pada hari ini, ia mungkin saja menimbulkan tanda tanya tentang peranan yang dimainkan oleh Pustaka dalam usaha hendak menggalak, mendorong serta meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan masyarakat di kawasan Bakam ini.
Walaupun begitu, disebabkan kemudahan ini telah disediakan secara percuma, penduduk setempat yang tinggal di sekitar kawasan Bakam ini perlu menjadikan DCC ini sebagai tempat untuk menimba ilmu kerana ia merupakan pusat sumber yang menyediakan pelbagai keperluan maklumat.
Selain itu, bagi mereka yang mempunyai perniagaan kecil-kecilan, DCC ini adalah tempat di mana mereka boleh mendapatkan pengetahuan digital daripada kakitangan di DCC tentang cara-cara mempromosikan produk.
Sebelum ini, selain pelajar, belia dan golongan usahawan, pihak JKKK juga turut menggunakan DCC untuk bermesyuarat, menggunakan kemudahan percetakan, internet percuma dan peralatan-peralatan ICT untuk urusan-urusan kampung.
Hal ini bermaksud, semua kemudahan adalah dikongsikan bersama penduduk setempat bagi memberi impak yang lebih besar kepada pembangunan sosioekonomi serta pengetahuan penduduk setempat.
Kemahiran ICT sememangnya penting dan perlu dikuasai oleh semua penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
Kemahiran ICT ini tidak hanya memfokuskan kepada kemahiran menggunakan Microsoft semata-mata tetapi bersifat lebih meluas bersesuaian dengan kehendak dan kepuasan yang diinginkan oleh pengguna.
Kelebihan seperti inilah yang sepatutnya dimanfaatkan penduduk kerana mereka mampu memenuhi keperluan ICT yang diinginkan sekali gus memperoleh kepuasan yang tinggi kerana tidak memerlukan mereka mengeluarkan kos yang besar di samping memperoleh kemudahan yang selesa apabila betul-betul memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan ini.