Masalah jalur lebar terus menjadi keresahan penduduk tidak kira di bandar mahupun luar bandar meskipun sesetengah kawasan telah dilengkapi dengan kemudahan komunikasi dan internet kerana rangkaian akses untuk kemudahan tersebut masih berada di tahap yang agak lemah.
Tidak dinafikan, masih banyak tempat yang tiada liputan internet termasuklah di kawasan kampung-kampung, perumahan, rumah-rumah panjang bahkan di sekolah-sekolah terutama di kawasan luar bandar di mana capaian internetnya berada di tahap yang sangat tidak memuaskan.
Sejak beberapa tahun yang lalu, kita melihat Kerajaan Sarawak sangat komited dalam usaha membangunkan liputan telekomunikasi di seluruh Sarawak tanpa mengabaikan kawasan luar bandar.
Usaha ini adalah demi memastikan tiada rakyat tertinggal dalam mendapatkan maklumat semasa menerusi saluran yang disediakan oleh kerajaan.
Pada era digitalisasi ini, bukan hanya kemudahan infrastruktur, bekalan air dan bekalan elektrik yang sangat diperlukan malah, kemudahan jaringan perkhidmatan telekomunikasi juga dilihat amat penting dan sangat diperlukan oleh seluruh masyarakat di negeri ini.
Bahkan, kemudahan jaringan perkhidmatan telekomunikasi ini juga telah menjadi teras penting kepada Sarawak untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Kerana itu, Kerajaan Sarawak tetap komited dalam usaha hendak melengkapkan kawasan di luar bandar dengan capaian internet yang bukan sahaja memberikan manfaat yang positif kepada penduduk tetapi menjadi pelengkap kepada pembangunan infrastruktur.
Sarawak kini memerlukan capaian internet dengan kelajuan 4G ataupun 5G bagi merancakkan lagi ekonomi digital, namun kelajuan capaian internet pada masa kini tidak mencukupi dan memenuhi keperluan penduduk.
Kerana itu, kerajaan terus berusaha untuk meningkatkan taraf liputan telekomunikasi ini dengan mencari pendekatan yang berkesan bagi menambah baik kemudahan tersebut.
Bagi mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah mewujudkan dan melaksanakan inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) sejak beberapa tahun yang lalu.
Dalam usaha ini, SMA turut berkolaborasi secara rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain melibatkan Sarawak Information System (SAINS) dalam proses pelaksanaannya.
Inisiatif SALURAN adalah salah satu usaha untuk mempercepatkan visi mencapai 99.9 peratus liputan jalur lebar di seluruh Sarawak.
Objektif utama SALURAN adalah untuk memperluaskan capaian 4G dengan menaik taraf infrastruktur sedia ada serta infrastruktur baharu ke seluruh Sarawak.
Antara projek yang giat dilaksanakan adalah pembinaan menara Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) oleh SMA, program Sarawak Rural Broadband Network (mySRBN) oleh SDEC, Digital Socio Economy (DSE) oleh SAINS dan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Negeri Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 7,000 menara telekomunikasi dan setakat ini, sejumlah 3,471 menara telah pun siap dibina manakala 1,043 menara dijadualkan siap menjelang penghujung 2022 dan 2,486 menara dijadualkan siap menjelang tahun 2030.
Dengan pembinaan menara-menara telekomunikasi ini, ia akan meningkatkan liputan dari sekitar 54.2% (sekarang) sehingga mencapai sekitar 93.6% secara berperingkat di seluruh Sarawak menjelang akhir tahun 2022.
Bermakna, sebahagian besar kawasan di Sarawak akan mempunyai liputan 4G manakala, selebihnya 6.4% yang berada dalam kawasan pedalaman dengan bentuk muka bumi yang mencabar, topologi dan teknologi yang akan digunakan hanya akan dilaksanakan mulai tahun 2023 dan seterusnya.
Semakin banyak menara dibina, ia akan membolehkan pembekal perkhidmatan mudah alih seperti Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan MySRBN-SDEC menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih.
Di beberapa kawasan yang jauh di mana tidak ada backhaul darat seperti menara pemancar dan fiber, kerajaan melalui agensi pelaksana akan memasang VSAT (Very Small Aperture Terminal) untuk menyediakan jalur lebar melalui satelit sebagai penyelesaian interim atau sementara.
Semasa Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Barcelona 2024 yang berlangsung pada Februari yang lalu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Datuk Seri Julaihi Narawi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan kemudahan peranti terminal komunikasi kecil (VSAT) di 773 tapak.
Kemudahan VSAT tersebut adalah sebagai jalan penyelesaian sementara bagi akses Internet kepada masyarakat yang tidak mempunyai kemudahan itu.
Menurut beliau, sebanyak 1,472 menara telah diwujudkan di serata Sarawak menerusi inisiatif SALURAN dan Pelan Digital Negara (JENDELA).
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa liputan 4G di Sarawak pula di tahap 66 peratus dan djangkakan mencecah 93 peratus apabila pembangunan menara itu siap menjelang akhir tahun ini.
Malah, sebagai salah satu negeri pertama melancarkan rangkaian 5G, Sarawak pada masa ini mempunyai 514 tapak yang telah beroperasi manakala 585 tapak pula disasarkan beroperasi menjelang 2024 dengan kadar liputan 64.8 peratus, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bekerjasama erat dengan kerajaan negeri Sarawak dalam menyediakan infrastruktur dan penyelesaian digital.
Ini termasuk projek utama Sarawak Network and Cloud, Pelan Induk Bandar Pintar Kuching dan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) untuk memperluas rangkaian dan kesalinghubungan 4G di seluruh negeri dan SMART.