32.1 C
Kuching
Friday, September 24, 2021

Pembaharuan Bandar Sarawak Diterap Konsep Bandar Pintar

- Advertisement -
- Advertisement -

Program pembaharuan bandar (urban renewal) di Sarawak telah mula diterapkan dengan konsep bandar pintar (smart city) mengikut keperluan setempat dengan menekankan penggunaan teknologi digital untuk tujuan pengurusan persekitaran yang lebih cekap dan bersepadu.

Misalnya, beberapa projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) seperti Darul Hana, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sejingkat dan Kampung Tabuan Melayu (Kuching); Kampung Datu Baru dan Kemuyang (Sibu); dan Kampung Baru (Kapit).

Dalam pelaksanaan projek tersebut, LCDA menerapkan konsep bandar pintar untuk memudahkan kawalan keselamatan serta membantu usahawan berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Sekurang-kurangnya RM270.6 juta telah dibelanjakan oleh LCDA untuk tujuan tersebut di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) manakala, sejumlah RM467 juta telah pun diluluskan untuk meneruskan pelaksanaan program tersebut pada tahun 2020.

Projek pembaharuan bandar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH) adalah berdasarkan falsafah pembangunan mampan secara holistik dengan memfokuskan perancangan pembangunan yang seimbang, mampan, berdaya huni dan inklusif bagi menjamin kualiti hidup masyarakat yang lebih sihat.

Dasar ini dilakukan dengan menyediakan rumah mampu milik yang dilengkapkan dengan prasarana asas seperti jaringan jalan raya, sistem perparitan dan pelbagai kemudahan awam serta pelan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.

Pembaharuan bandar dilihat sebagai salah satu alternatif berkesan bagi menangani kawasan-kawasan bandar yang usang dan tidak ekonomik sehingga memberikan implikasi negatif terhadap aspek alam sekitar, visual serta kehidupan sosial penduduk setempat.

Bagi mengubah kawasan-kawasan bandar yang usang, terbiar, suram dan tidak ekonomik, ia perlu dilakukan dengan membentuk mekanisme pelaksanaan pembaharuan bandar yang terancang.

Di Sarawak, projek pembaharuan bandar sangat penting kerana dianggarkan lebih 50 peratus daripada jumlah penduduk di negeri ini tinggal di bandar.

Justeru, pembaharuan bandar melibatkan pembangunan semula kawasan penempatan yang sesak dan usang perlu dilakukan untuk menjadikan kawasan persekitaran kediaman yang kondusif, selamat dan sihat.

Pembaharuan bandar di Sarawak bukanlah sesuatu yang baharu, kerana ia telah bermula sejak 2010 oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang pada ketika itu Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak.

Beliau pada ketika itu telah mengadaptasi beberapa pendekatan yang digunakan oleh Pihak Berkuasa Pembaharuan Bandar di Singapura dalam usaha membangunkan bandar-bandar utama di Sarawak seperti di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

Ketika itu, polisi pembaharuan bandar negeri memberi tumpuan dalam meningkatkan lagi bangunan-bangunan dan rumah-rumah lama yang mempunyai nilai warisan dan sejarah dalam usaha menjadikan pusat-pusat bandar di negeri ini bertambah cantik, mesra penghuni dan mesra alam.

Berbalik kepada perkembangan hari ini, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) YB Ir. Lo Khere Chiang semasa berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-24 MPP tahun lepas memaklumkan bahawa, MPP telah mencadangkan beberapa inisiatif pembaharuan bandar di bawah RMK-12.

Inisiatif tersebut melibatkan pembaharuan dan meremajakan (rejuvenation) Bazar Sungai Maong (Batu 3), Kota Sentosa (Batu 7) dan Kota Padawan (Batu 3) dengan anggaran kos bernilai RM82 juta.

Kota Sentoasa di bawah bidang kuasa MPP akan dimajukan menerusi program pembaharuan bandar di bawah RMK-12

Pembaharuan bandar di kawasan-kawasan tersebut sangat penting kerana ia akan menjadikan bazar dan bandar berdekatan lebih ‘hidup’ dan melestarikan ekonomi sekaligus akan menjadi petunjuk kepada pertumbuhan sihat dan kemakmuran bandar tersebut.

Menurut beliau, MPP mempunyai jumlah hartanah terbanyak berbanding kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak dan sehingga 1 Oktober 2020, terdapat 73,100 hartanah di kawasan pentadbiran MPP dan 91 peratus daripada jumlah tersebut ialah perumahan.

Bazar Sungai Maong di bawah bidang kuasa MPP akan dimajukan menerusi program pembaharuan bandar di bawah RMK-12

Dari tahun 2017 sehingga 2020, kadar pertumbuhan pembangunan hartanah di MPP ialah 3.5 peratus setahun atau sekitar 2,300 hartanah baharu setiap tahun manakala unjuran MPP menjangkakan terdapat sekurang-kurangnya 73,500 hartanah pada penghujung tahun 2020.

Pekan Kota Padawan di bawah bidang kuasa MPP akan dimajukan menerusi program pembaharuan bandar di bawah RMK-12

Kebanyakan bandar dan bazar di bawah MPP telah mengalami pembangunan yang pesat sejak 20 tahun yang lalu seperti Bandar Baharu Batu Kawah, Kota Sentosa, Jalan Matang, Jalan Batu Kawa, pusat komersial Emart Batu Kawa, P’ Residence, Dataran Moyan, PRIMA Matang, RPR Landeh, Skim Penempatan Bengoh dan Pusat Pentadbiran MPP.

Manakala jumlah bangunan telah meningkat secara mendadak daripada 21,000 pada tahun 1996 kepada 73,100 pada 1 Oktober 2020.

Selain MPP, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) juga bercadang hendak mengubah landskap kawasan Padungan dengan merancang beberapa projek pembaharuan bandar yang akan dilaksanakan di bawah RMK-12.

Memetik laporan salah sebuah akhbar tempatan, MBKS akan melaksanakan projek pembaharuan bandar tersebut dalam tempoh lima tahun, namun tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri.

Dalam laporan tersebut, Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng turut menjelaskan matlamat utama projek pembaharuan bandar MBKS adalah untuk mengangkat semula kawasan Padungan yang dikenali sebagai “Pekan China” dan mempunyai struktur bangunan dan seni bina lama.

“Pekan China” di bawah bidang kuasa MBKS dicadang untuk dimajukan menerusi program pembaharuan bandar di bawah RMK-12

Jelas beliau juga, MBKS mempunyai pelan pembangunan yang berkonsepkan bandar pintar dan sihat yang akan dibentangkan kepada Kerajaan Sarawak dan dimasukkan ke dalam RMK-12.

Sebagai langkah pertama, katanya, MBKS bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan MPP telah menubuhkan jawatankuasa bersama untuk membangunkan seluruh bandar Kuching melalui pembangunan infrastruktur dan program pembaharuan bandar.

Bahagian Sibu turut menyaksikan, impak program pembaharuan bandar telah merangsang aktiviti pembangunan dengan pelbagai projek telah dibawa oleh Kerajaan Sarawak khususnya yang melibatkan pembinaan jalan perhubungan.

Salah satunya ialah pembangunan projek jalan baharu dari Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim yang dibangunkan dengan kos bernilai RM100 juta dijangka akan memacu kemajuan di bahagian Sibu.

Terbukti bahawa, pelaksanaan pembaharuan bandar ini penting disebabkan penawaran tanah yang semakin terhad memerlukan tindakan perancangan dan penggunaan tanah bandar yang lebih efisien.

Selain itu, ia juga bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan untuk meningkatkan persekitaran kualiti hidup selain berupaya menjana peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi yang lebih memberangsangkan berbanding keadaan asal dan banyak lagi sebab-sebab yang lain.

- Advertisement -

Latest news

Penduduk Teruja dan Sambut Baik Penubuhan DCC Baji Jaya

Penerimaan dan sambutan orang ramai jelas sekali menunjukkan bahawa penduduk sekitar amat teruja serta menyambut baik penubuhan DCC di Kampung Baru Seberang Sarikei.
- Advertisement -

Masyarakat Lundu Tidak Ketinggalan Dalam Bidang Teknologi Digital

DCC Sebiris dan Sebako dilengkapi dengan WiFi; dua (2) unit komputer; satu (1) unit laptop; tiga (3) unit tablet; satu (1) unit pojektor; satu (1) unit TV Pintar; satu (1) unit webcam; dan satu (1) unit mesin pencetak A4.

SALURAN Capai 99.9% Liputan Jalur Lebar

mySRBN adalah inisiatif untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan pedalaman dan bandar Sarawak setelah bertahun lamanya, penduduk di daerah terpencil menyuarakan tentang keperluan untuk mempunyai internet berkelajuan tinggi.

Perpustakaan Desa Diperkasa Sebagai Pusat Komuniti Digital

Bagi melatih petugas-petugas yang bertugas di DCC, perancangan dan pelaksanaan latihan disediakan secara bersama oleh pihak KPKT, PBT dan agensi-agensi lain seperti Pustaka Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) untuk pelatih program GETS.

Related news

Penduduk Teruja dan Sambut Baik Penubuhan DCC Baji Jaya

Penerimaan dan sambutan orang ramai jelas sekali menunjukkan bahawa penduduk sekitar amat teruja serta menyambut baik penubuhan DCC di Kampung Baru Seberang Sarikei.

Masyarakat Lundu Tidak Ketinggalan Dalam Bidang Teknologi Digital

DCC Sebiris dan Sebako dilengkapi dengan WiFi; dua (2) unit komputer; satu (1) unit laptop; tiga (3) unit tablet; satu (1) unit pojektor; satu (1) unit TV Pintar; satu (1) unit webcam; dan satu (1) unit mesin pencetak A4.

SALURAN Capai 99.9% Liputan Jalur Lebar

mySRBN adalah inisiatif untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan pedalaman dan bandar Sarawak setelah bertahun lamanya, penduduk di daerah terpencil menyuarakan tentang keperluan untuk mempunyai internet berkelajuan tinggi.

Perpustakaan Desa Diperkasa Sebagai Pusat Komuniti Digital

Bagi melatih petugas-petugas yang bertugas di DCC, perancangan dan pelaksanaan latihan disediakan secara bersama oleh pihak KPKT, PBT dan agensi-agensi lain seperti Pustaka Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) untuk pelatih program GETS.
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here