32.1 C
Kuching
Wednesday, September 27, 2023

‘Sarawak ID’ Mudahkan Capaian Perkhidmatan Kerajaan Kepada Rakyat

- Advertisement -
- Advertisement -

Sarawak ID ialah satu sistem identiti digital yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai kemudahan akses digital yang lebih mudah dan selamat kepada semua sistem digital kerajaan.

Identiti Digital (ID) merupakan akses pengenalpastian pasangan data yang mengandungi ‘log masuk’ dan ‘kata laluan’ untuk mengakses sistem perkhidmatan Kerajaan Sarawak.

Dalam hal ini, log masuk terdiri daripada satu set nombor yang dibekalkan kepada setiap pengguna manakala kata laluan merupakan nombor yang tertera pada kad pengenalan (KP) pengguna.

Oleh itu, ID boleh didefinisikan sebagai suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih untuk mendapatkan perkhidmatan digital yang selamat, terjamin dan terlindung.

Merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), ID merupakan perwakilan yang unik mengenai identiti seseorang, yang digunakan untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan digital dan menjalankan transaksi secara dalam talian dengan lebih selamat melalui proses pengesahan.

Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pula mentakrifkan ID sebagai perwakilan digital untuk sesebuah entiti yang cukup terperinci untuk membezakan individu tersebut dalam konteks digital.

Manakala, World Bank Identification for Development (ID4D) menganggap ID sebagai satu set atribut yang disimpan, ditangkap secara elektronik dan kelayakan yang berupaya mengenal pasti seseorang secara unik.

Dalam konteks Sarawak ID, ia membolehkan orang ramai mengakses dan melakukan pelbagai transaksi dalam perkhidmatan awam tanpa perlu mengingati pelbagai ID pengenalan dan kata laluan. 

Sarawak ID yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak telah memudahkan rakyat berurusan secara jarak jauh di alam maya dengan penyedia perkhidmatan digital iaitu Kerajaan Sarawak.

Hal ini kerana ia diguna pakai oleh Kerajaan Sarawak untuk urusan seperti permohonan pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selain itu, ia juga diperlukan bagi permohonan Biasiswa Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak (BPKNS), membuat pembayaran melalui aplikasi SarawakPay, Portal PayBills Sarawak, Portal Service Sarawak, laman sesawang agensi-agensi Kerajaan Negeri dan sebagainya.

Sarawak ID membolehkan pengguna mengakses portal Service Sarawak bagi tujuan pembayaran bil utiliti dan lain-lain

Dengan memiliki Sarawak ID, transaksi perkhidmatan dalam talian dapat dilakukan dengan mudah kerana pengguna hanya perlu mendaftar masuk sekali sahaja untuk mencapai semua perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Pengguna yang hendak memuat naik aplikasi SarawakPay di telefon pintar perlu mempunyai Sarawak ID

Untuk mengelak sebarang kekeliruan, perlu dijelaskan di sini ialah bahawa Sarawak ID tidak akan sesekali menggantikan MyKad (Kad Pengenalan) sebagai bukti kewarganegaraan tetapi akan melengkapinya sebagai bentuk pengenalan digital yang digunakan ketika bertransaksi secara digital.

Fakta yang perlu diketahui orang ramai ialah, Sarawak ID merupakan perwakilan identiti seseorang dalam talian, manakala MyKad merupakan identiti kebangsaan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk rakyat Malaysia dalam bentuk fizikal.

Sehubungan itu, rakyat di negeri ini digalakkan untuk memiliki Sarawak ID masing-masing kerana ia secara automatik akan didaftarkan sebagai pengguna SarawakPay dan bagi mereka yang sudah mendaftar di e-Recruitment Kerajaan Sarawak, anda dikira sudah mempunyai Sarawak ID.

Sarawak ID membolehkan pengguna mengakses PayBills Sarawak bagi tujuan pembayaran bil utiliti dan lain-lain

SarawakPay adalah aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak untuk membolehkan anda menyimpan wang secara digital (e-dompet), membuat pembayaran dan memindahkan wang.

Selain itu, aplikasi SarawakPay juga membolehkan anda menerima wang secara digital, malah mempunyai fungsi pintar seperti bil perpecahan (split bill), meminta pembayaran daripada rakan, melihat sejarah transaksi, membayar utiliti serta bil PBT dan banyak lagi keistimewaan yang lain.

Bagi pengguna yang telah mendaftar akaun Sarawak ID, mereka boleh mengesahkan akaun mereka dengan MyKad melalui eKiosk Service Sarawak untuk membolehkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.

Pelaksanaan sistem ID ini sangat bermanfaat kepada Kerajaan Sarawak dan juga rakyat di negeri ini dalam aspek menyokong perkhidmatan digital yang lebih efisien dan dipercayai (trusted digital services).

Selain daripada itu, perlaksanaan sistem digital ini juga dijangka akan menggalakkan lebih banyak inovasi dicipta dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan bagi tujuan penambahbaikan kualiti kehidupan rakyat. 

Lebih daripada itu, ia dilihat mampu memberi tambah nilai kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi digital merentasi pelbagai sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan awam, kewangan, e-dagang, e-dompet, e-kesihatan dan sebagainya.

Sarawak ID juga boleh meningkatkan pengalaman pengguna kerana proses yang diperincikan serta konsisten dengan capaian yang lebih mudah kepada perkhidmatan kerajaan dan perniagaan seperti pengguna SarawakPay, e-Recruitment, Service Sarawak, Paybills Sarawak dan sebagainya.

Pemohon pekerjaan perlu mempunyai Sarawak ID untuk mengakses e-Recruitment Kerajaan Sarawak

Melihat kepada situasi hari ini di mana seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik COVID-19, sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19, Sarawak ID telah dapat menyokong berlangsungnya perlaksanaan kerja, pembelajaran, transaksi serta lain-lain aktiviti secara dalam talian.

Pada dasarnya, sistem identiti digital ini bukan hanya dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak mahupun Kerajaan Malaysia, tetapi turut dilaksanakan oleh negara-negara maju seperti di Estonia, Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, India dan lain-lain.

Hal ini kerana, identiti digital ini telah memudahkan orang awam di negara-negara tersebut mengakses perkhidmatan serta melakukan transaksi dalam talian dengan mengesahkan identiti diri mereka menggunakan identiti digital.

Antara transaksi yang boleh dilaksanakan oleh rakyat di negara seperti Estonia dengan identiti digital yang mereka miliki ialah seperti membuka akaun tanpa perlu hadir secara fizikal di bank untuk membuktikan identiti mereka.

Identiti digital yang dimiliki juga sangat bermanfaat untuk mereka melakukan konsultasi dengan doktor dan mendapatkan preskripsi ubat-ubatan dalam talian melalui akses kepada rekod kesihatan, melakukan transaksi penyewaan hartanah, mengundi dalam talian, e-pembelajaran dan sebaginya.

Telah terbukti bahawa Sarawak ID memberi banyak manfaat kepada kerajaan dan rakyat, misalnya ia telah dapat meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan, penjimatan kos, masa dan tenaga serta menggalakkan suasana kerja tanpa kertas (paperless).

Bagi pengguna pula, pengesahan identiti menjadi mudah kerana mereka tidak perlu lagi mengingati nama log masuk dan kata laluan yang berbeza untuk mengakses sistem kerajaan.

- Advertisement -

Latest news

Sarawak Decarbonisation With UN SDGs

Through the Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 and Sarawak Corridor of Renewable Energy, Sarawak has made great strides towards the creation and cultivation of sustainable cities and communities in the State.
- Advertisement -

Carbon Tax Generates Revenue for Sarawak

The value of the carbon is based on the ability of the country to store it or to prevent it from being released into the atmosphere.

Kesedaran Keselamatan Siber

Kempen kesedaran keselamatan siber khususnya scam dan penipuan dalam talian perlu dipergiat dan diperluaskan kesemua lapisan masyarakat dengan pendekatan yang lebih kreatif dan komprehensif.

Sarawak Creating New Revenue Based on Green Hydrogen

The demand for hydrogen will increase due to growing use of renewable energy technologies and the increasing transition to a low-carbon economy.

Related news

Sarawak Decarbonisation With UN SDGs

Through the Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 and Sarawak Corridor of Renewable Energy, Sarawak has made great strides towards the creation and cultivation of sustainable cities and communities in the State.

Carbon Tax Generates Revenue for Sarawak

The value of the carbon is based on the ability of the country to store it or to prevent it from being released into the atmosphere.

Kesedaran Keselamatan Siber

Kempen kesedaran keselamatan siber khususnya scam dan penipuan dalam talian perlu dipergiat dan diperluaskan kesemua lapisan masyarakat dengan pendekatan yang lebih kreatif dan komprehensif.

Sarawak Creating New Revenue Based on Green Hydrogen

The demand for hydrogen will increase due to growing use of renewable energy technologies and the increasing transition to a low-carbon economy.
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here