24.1 C
Kuching
Saturday, October 23, 2021

Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) Negara

- Advertisement -
- Advertisement -

Revolusi Perindustrian Keempat (41R) merujuk pada transformasi disruptif dalam industri melalui penggunaan teknologi yang baru muncul.

Menurut pengasas Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab, 4IR sedang membina revolusi Industri Ketiga dengan kemunculan teknologi terkini dalam bidang seperti kecerdasan buatan, robotik, internet kebendaan, kenderaan tanpa pengemudi, percetakan 3D, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpan tenaga dan pengkomputeran kuantum.

Teknologi kecerdasan buatan kini sebenarnya sudah berada di sekeliling kita seperti kereta yang memandu sendiri, teknologi drone dan bantuan secara maya.

Ramai pakar ekonomi tidak menafikan bahawa penerimaan teknologi 4IR yang meluas akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital.

Dasar 4IR Negara

Pada 1 Julai 2021, Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) Negara yang menyeluruh dilancarkan untuk memacu usaha bersepadu dalam mentransformasikan pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi 4IR yang beretika.

Dasar 4IR Negara mengandungi empat teras utama yang akan memanfaatkan tiga kumpulan, iaitu masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

Teras pertama, melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR.

Kedua, membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital.

Ketiga, menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya disesuaikan dengan perubahan teknologi.

Teras keempat adalah mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Seri Mustapa bin Mohamed, keempat-empat teras dasar ini akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR.

Teras-teras tersebut akan dilaksanakan berpandukan 16 strategi. Enam daripadanya menyasarkan untuk memperlengkapkan masyarakat dengan kemahiran yang diperlukan bagi memanfaatkan digitalisasi sepenuhnya.

Manakala enam lagi strategi pula akan memanfaatkan industri dan empat lagi strategi melibatkan peningkatan perkhidmatan sektor awam.

Strategi-strategi ini kemudian dibahagikan kepada tiga tempoh sasaran penyelesaian yang diharapkan, iaitu projek yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penerapan 4IR harus diselesaikan pada tahun 2022, yang mendorong transformasi dan inklusif 4IR perlu diselesaikan menjelang 2025 sementara kerajaan berharap dapat mencapai keseimbangan, tanggungjawab dan pertumbuhan mampan dengan menggarap kebanyakan teknologi 4IR menjelang 2030.

Bagi memastikan strategi tersebut dapat dicapai, dasar berkenaan memfokuskan 10 sektor utama merangkumi perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan logistik, pelancongan, kewangan dan insurans, perkhidmatan profesional, saintifik dan teknikal, utiliti, pendidikan, pembuatan, penjagaan kesihatan dan pertanian.

Enam sektor sokongan juga dikenal pasti sebagai sektor yang akan menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi yang dipercepat, iaitu pembinaan, perkhidmatan kesenian, hiburan dan rekreasi, harta tanah, perlombongan dan pengkuarian, perkhidmatan maklumat dan komunikasi dan pentadbiran dan khidmat sokongan.

Untuk melayari revolusi industri ini, Malaysia perlu memberi tumpuan terhadap membangunkan keupayaan dalam lima (5) teknologi asas 4IR, iaitu kecerdasan buatan (AI), IoT, blockchain, bahan dan teknologi termaju serta pengkomputeran awan dan analisis data raya.

Persediaan Malaysia Menguasai 4IR

Masyarakat

Kajian Rangka Kerja Dasar Negara mengenai 4IR yang dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) mendapati bahawa asas pembangunan yang bersesuaian telah sedia ada untuk Malaysia menguasai 4IR.

Masyarakat terutama pelajar perlu dilengkapi dengan kemahiran menggunakan teknologi baru muncul seperti percetakan 3D

Walau bagaimanapun, usaha untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan menguasai 4IR perlu dilipat gandakan.

Di peringkat masyarakat, Malaysia telah mengambil beberapa langkah untuk menangani impak sosial yang wujud daripada 41R.

Cabaran-cabaran yang perlu didepani ialah, liputan yang terhad mengenai transaksi data rentas sempadan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi sedia ada, liputan yang tidak mencukupi bagi program pendidikan dan peningkatan kemahiran berkaitan 41R, ketidaksamaan akses kepada teknologi yang melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar, jantina, pendapatan dan generasi.

Cabaran lain termasuklah kekurangan jaringan keselamatan sosial untuk membendung kehilangan pekerjaan berikutan penerimagunaan teknologi 41R, potensi yang terhad bagi transaksi dalam talian disebabkan oleh kurang kepercayaan dan kekurangan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk melindungi diri daripada jenayah siber.

Sehubungan itu, pendekatan tadbir urus yang lebih fleksibel sangat diperlukan selain mekanisme penggubalan dasar juga perlu seiring dengan perubahan pesat dan mengambil kira kesan besar 4IR kepada masyarakat.

Perniagaan

Penggunaan ICT dalam perniagaan dilihat semakin meningkat. Namun secara umumnya, kesediaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menguasai 4IR daripada segi penerimagunaan digital dan teknologi masih di tahap rendah.

Oleh itu, ekosistem yang kondusif perlu disediakan bagi menyokong pelaburan PMKS dalam teknologi memandangkan 97.2% daripada pertumbuhan adalah daripada sektor PMKS.

Dalam tempoh lima (5) tahun akan datang, pertumbuhan pesat dalam penerimagunaan teknologi 4IR dijangka akan berlaku dalam sektor pembuatan, ICT dan pendidikan.

Malaysia mempunyai inovator 41R yang mampu membangunkan produk atau perkhidmatan baharu dan penyedia teknologi bersaiz kecil semakin bersedia untuk melabur dalam 41R untuk pertumbuhan jangka panjang.

Perkembangan ini menandakan terdapat potensi pertumbuhan dalam inovasi dan pembangunan teknologi.

Bagi membantu perniagaan meningkatkan keupayaan teknologi, sokongan kerajaan diperlukan daripada segi memudah cara kerjasama, menyediakan insentif dan menghapuskan kekangan kawal selia.

Kerajaan

Bagi pihak kerajaan, pendigitalan perkhidmatan awam merupakan prasyarat kepada penerimagunaan teknologi 4IR untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

Sebagai contoh, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti 1 GovCloud, Hab Perkongsian Data Kerajaan Malaysia (MyGDX) dan Transformasi Perkhidmatan optimasi Data Kerajaan (GDOTS) untuk mendigitalkan dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.

Ini merupakan inisiatif kerajaan dalam mendigital dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam dalam mendepani 4IR

Kaji selidik UN E-Government Survey 2020 menunjukkan pencapaian Malaysia bertambah baik pada kedudukan ke-47 dalam E-Government Development Index (EGDI) berbanding dengan kedudukan ke-60 pada tahun 2016.

Malaysia juga merupakan antara 16 buah negara dalam kumpulan berpendapatan sederhana tinggi yang memperoleh skor yang tinggi dalam Online Service Index (OSI) dan seterusnya membolehkan negara ini beralih daripada kumpulan ‘Tinggi’ kepada ‘Sangat Tinggi’ dalam EDGI dengan skor sebanyak 0.79.

Selain itu, Malaysia turut berada pada kedudukan kelapan di peringkat global dan kedua di Asia Pasifik dalam ITU Global Cybersecurity Index 2018.

Pencapaian ini membuktikan bahawa kawalan keselamatan yang komprehensif telah tersedia bagi memastikan keselamatan data dan menghalang akses kepada infrastruktur digital tanpa kebenaran.

Namun, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi mewujudkan kerajaan yang dipacu 4IR. Antaranya, keupayaan dalam penerimagunaan digital dan teknologi perlu dipertingkatkan, sistem dan proses dalam sektor awam perlu lebih banyak diautomasikan untuk membolehkan tindak balas pada masa nyata.

Kepimpinan yang mantap dalam memacu perubahan juga diperlukan supaya sektor awam dapat digerakkan dengan penguasaan teknologi 4IR memandangkan masih terdapat jurang dalam kesediaan bakat dan infrastruktur.

Dasar Sedia Ada Berkaitan 4IR

Kesediaan Malaysia dalam melayari 4IR dapat dilihat melalui dasar sedia ada yang berkaitan selain memantapkan kekuatan yang ada.

Usaha kerajaan dalam menggalakkan penerimagunaan teknologi termaju bermula pada tahun 2013 melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara. (DSTIN 2013)

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar, Dasar 4IR Negara saling melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030) yang membawa agenda pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi yang disepadukan dengan pengukuhan ekonomi di bawah konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE)

Bagi menyokong pelaksanaan DSTIN untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, rangka kerja 10-10 MySTIE yang menyenaraikan 30 bidang keutamaan sains, teknologi dan ekonomi yang mewakili 10 pemacu sosio ekonomi telah diperkenalkan.

10-10 MySTIE diformulasikan bagi mengenal pasti jurang antara hasil R&D dengan keperluan industri, serta membantu dalam mengenal pasti isu di dalam mengkomersialkan produk, teknologi dan perkhidmatan.

Bagi membolehkan sektor pembuatan menguasai 4IR, Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD) telah dilancarkan pada Oktober 2018 yang bertujuan untuk mentransformasikan sektor ini kepada sektor yang pintar, sistematik dan berdaya tahan dengan memanfaatkan teknologi 4IR.

Daripada segi penyediaan infrastruktur digital, kerajaan telah mengambil langkah yang signifikan melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara 2019-2023 (NFCP).

Pelan ini menetapkan hala tuju bagi mencapai pendigitalan sepenuhnya dan NFCP telah dijenamakan semula pada 2020 sebagai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Kerajaan juga telah memanfaatkan teknologi 4IR dalam mengurus impak sosioekonomi akibat pandemik COVID-19.

Antara langkah yang telah diambil ialah dengan memperkenalkan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi menggalakkan pendigitalan dan mendorong inovasi teknologi kepada komuniti perniagaan tempatan.

Peruntukan sebanyak RM9.4 bilion bagi mempercepatkan pendigitalan termasuk RM7.4 bilion untuk menambah baik perkhidmatan jalur lebar di luar bandar dan RM1.0 bilion bagi skim transformasi pendigitalan industri dalam Bajet 2021 juga merupakan antara persediaan Malaysia meraih manfaat dan menangani risiko berkaitan 4IR.

Artikel ini disesuaikan daripada artikel Melayari Revolusi Industri 4.0 yang disiarkan di RAKANSARAWAK.COM

- Advertisement -

Latest news

Penduduk Teruja dan Sambut Baik Penubuhan DCC Baji Jaya

Penerimaan dan sambutan orang ramai jelas sekali menunjukkan bahawa penduduk sekitar amat teruja serta menyambut baik penubuhan DCC di Kampung Baru Seberang Sarikei.
- Advertisement -

Masyarakat Lundu Tidak Ketinggalan Dalam Bidang Teknologi Digital

DCC Sebiris dan Sebako dilengkapi dengan WiFi; dua (2) unit komputer; satu (1) unit laptop; tiga (3) unit tablet; satu (1) unit pojektor; satu (1) unit TV Pintar; satu (1) unit webcam; dan satu (1) unit mesin pencetak A4.

SALURAN Capai 99.9% Liputan Jalur Lebar

mySRBN adalah inisiatif untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan pedalaman dan bandar Sarawak setelah bertahun lamanya, penduduk di daerah terpencil menyuarakan tentang keperluan untuk mempunyai internet berkelajuan tinggi.

Perpustakaan Desa Diperkasa Sebagai Pusat Komuniti Digital

Bagi melatih petugas-petugas yang bertugas di DCC, perancangan dan pelaksanaan latihan disediakan secara bersama oleh pihak KPKT, PBT dan agensi-agensi lain seperti Pustaka Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) untuk pelatih program GETS.

Related news

Penduduk Teruja dan Sambut Baik Penubuhan DCC Baji Jaya

Penerimaan dan sambutan orang ramai jelas sekali menunjukkan bahawa penduduk sekitar amat teruja serta menyambut baik penubuhan DCC di Kampung Baru Seberang Sarikei.

Masyarakat Lundu Tidak Ketinggalan Dalam Bidang Teknologi Digital

DCC Sebiris dan Sebako dilengkapi dengan WiFi; dua (2) unit komputer; satu (1) unit laptop; tiga (3) unit tablet; satu (1) unit pojektor; satu (1) unit TV Pintar; satu (1) unit webcam; dan satu (1) unit mesin pencetak A4.

SALURAN Capai 99.9% Liputan Jalur Lebar

mySRBN adalah inisiatif untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan pedalaman dan bandar Sarawak setelah bertahun lamanya, penduduk di daerah terpencil menyuarakan tentang keperluan untuk mempunyai internet berkelajuan tinggi.

Perpustakaan Desa Diperkasa Sebagai Pusat Komuniti Digital

Bagi melatih petugas-petugas yang bertugas di DCC, perancangan dan pelaksanaan latihan disediakan secara bersama oleh pihak KPKT, PBT dan agensi-agensi lain seperti Pustaka Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) untuk pelatih program GETS.
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here