32.1 C
Kuching
Friday, September 24, 2021

Pengecualian Duti Setem HOC

- Advertisement -
- Advertisement -

Ringankan Beban Pemilik Rumah

Bagi menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi negara, Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun 2020.

Langkah ini diambil setelah melihat kesan teruk daripada penularan wabak COVID-19, sehingga ekonomi dunia telah menghadapi krisis yang terburuk sejak zaman Kemelesetan Ekonomi (Great Depression) pada tahun 1930-an.

Kesan daripada pandemik ini juga, kadar pengangguran dijangka akan terus meningkat malah, konflik perdagangan serta pergolakan politik di beberapa buah negara turut memburukkan lagi keadaan, sekaligus memberi kesan yang lebih parah kepada ekonomi dunia.

Berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April 2020, pertumbuhan ekonomi dunia adalah pada kadar -3 peratus, telah berlaku buat kali pertama sejak kemelesetan ekonomi pada tahun 1930-an.

Seperti negara-negara lain, Malaysia juga menghadapi cabaran yang agak getir di mana kadar pengangguran adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada Mac 2020.

Untuk menangani situasi semasa ekonomi dan meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat, kerajaan telah memperkenalkan pakej-pakej rangsangan ekonomi termasuk Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS tambahan berjumlah RM260 bilion.

Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan ini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300 ribu buah syarikat.

Sehubungan itu, pada 5 Jun 2020, Perdana Menteri telah mengumumkan satu lagi inisiatif iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi”.

Di bawah PENJANA, Kerajaan telah mengenal pasti tiga (3) teras utama iaitu; Memperkasakan Rakyat (Empower People); Melonjakkan Perniagaan (Propel businesses); dan Merangsang Ekonomi (Stimulate the economy).

Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Salah satu inisiatif yang dilaksanakan di bawah PENJANA ialah merancakkan semula pasaran hartanah dengan memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Kempen Pemilikan Rumah (HOC) telah diperkenalkan semula pada 1 Jun 2020

Melalui kempen ini, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman bernilai antara RM300, 000 hingga RM2.5 juta.

Pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman.

Pengecualian ini akan berkuat kuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10% oleh pihak pemaju.

Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan pengecualian duti setem HOC sehingga 31 Disember 2021

Pada dasarnya, HOC telah dilancarkan pada 1 Januari 2019 sehingga 30 Jun 2019, namun disebabkan permintaan yang menggalakkan, tarikh tersebut telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2019.

Enam bulan kemudian, HOC diperkenalkan semula sebagai respons terhadap kesan daripada pandemik COVID-19 yang berlangsung dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Mei 2021.

Pada 31 Mei 2021, Perdana Menteri telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) di mana kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan pengecualian duti setem HOC sehingga 31 Disember 2021.

Inisiatif HOC yang dilanjutkan sehingga akhir tahun ini meneruskan lagi komitmen kerajaan untuk meringankan beban rakyat memiliki kediaman ketika tempoh mencabar akibat COVID-19.

Lanjutan HOC ini akan membantu bakal pembeli yang mungkin berdepan kesukaran untuk melunaskan duti setem, manakala dari sudut pemaju pula, ia menyokong usaha pemaju mencapai agenda pemilikan rumah.

Keputusan itu adalah selaras dengan cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) kepada kerajaan supaya melanjutkan insentif berkenaan untuk tempoh tujuh bulan lagi bagi menyokong industri hartanah, selain menyumbang kepada pembangunan semula ekonomi negara.

Inilah bukti yang mencerminkan komitmen serta keprihatinan kerajaan tanpa henti dalam memastikan pembangunan yang lebih berimbang dan kehidupan yang lebih sejahtera melalui peningkatan pelbagai kemudahan sosial.

Sementara itu, pengecualian duti setem sepenuhnya akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga 500 ribu ringgit.

Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025.

Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun.

Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus menyediakan perumahan yang lebih selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah.

Sejumlah RM1.2 bilion telah disediakan bagi tujuan berikut di mana; RM500 juta adalah untuk membina sehingga 14 ribu unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat dan RM315 juta ringgit untuk pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Selain itu, sejumlah RM125 juta ringgit adalah bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam; dan RM310 juta ringgit untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya HOC? HOC ialah inisiatif kerajaan yang dirancang untuk menyokong pembeli rumah yang ingin membeli hartanah selain mendorong penjualan hartanah yang tak terjual dalam pasaran perumahan Malaysia.

Kempen ini pada asalnya hanya dilancarkan dari 1 Januari 2019 hingga 30 Jun 2019, tapi tarikh tu telah dilanjutkan hingga 31 Disember 2019.

Dengan meningkatnya keinginan untuk pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia, terutama di kawasan bandar yang popular, inisiatif HOC ini telah direka untuk memadankan pencari rumah dengan semua rumah-rumah kosong.

Rumah kosong ialah kediaman di Malaysia yang tak terjual dan menurut rekod Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat sebanyak 45,027 unit yang tak terjual pada akhir tahun 2018. Mengikut NAPIC, hartanah yang siap dibina tak dijual (property overhang) adalah kediaman yang telah siap tetapi tak terjual dalam tempoh sembilan bulan selepas tarikh ia dilancarkan dan telah disahkan oleh pihak berkuasa tempatan yang kediaman itu adalah selamat untuk diduduki.

Insentif Kempen Pemilikan Rumah (HOC)
- Advertisement -

Latest news

Penduduk Teruja dan Sambut Baik Penubuhan DCC Baji Jaya

Penerimaan dan sambutan orang ramai jelas sekali menunjukkan bahawa penduduk sekitar amat teruja serta menyambut baik penubuhan DCC di Kampung Baru Seberang Sarikei.
- Advertisement -

Masyarakat Lundu Tidak Ketinggalan Dalam Bidang Teknologi Digital

DCC Sebiris dan Sebako dilengkapi dengan WiFi; dua (2) unit komputer; satu (1) unit laptop; tiga (3) unit tablet; satu (1) unit pojektor; satu (1) unit TV Pintar; satu (1) unit webcam; dan satu (1) unit mesin pencetak A4.

SALURAN Capai 99.9% Liputan Jalur Lebar

mySRBN adalah inisiatif untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan pedalaman dan bandar Sarawak setelah bertahun lamanya, penduduk di daerah terpencil menyuarakan tentang keperluan untuk mempunyai internet berkelajuan tinggi.

Perpustakaan Desa Diperkasa Sebagai Pusat Komuniti Digital

Bagi melatih petugas-petugas yang bertugas di DCC, perancangan dan pelaksanaan latihan disediakan secara bersama oleh pihak KPKT, PBT dan agensi-agensi lain seperti Pustaka Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) untuk pelatih program GETS.

Related news

Penduduk Teruja dan Sambut Baik Penubuhan DCC Baji Jaya

Penerimaan dan sambutan orang ramai jelas sekali menunjukkan bahawa penduduk sekitar amat teruja serta menyambut baik penubuhan DCC di Kampung Baru Seberang Sarikei.

Masyarakat Lundu Tidak Ketinggalan Dalam Bidang Teknologi Digital

DCC Sebiris dan Sebako dilengkapi dengan WiFi; dua (2) unit komputer; satu (1) unit laptop; tiga (3) unit tablet; satu (1) unit pojektor; satu (1) unit TV Pintar; satu (1) unit webcam; dan satu (1) unit mesin pencetak A4.

SALURAN Capai 99.9% Liputan Jalur Lebar

mySRBN adalah inisiatif untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan pedalaman dan bandar Sarawak setelah bertahun lamanya, penduduk di daerah terpencil menyuarakan tentang keperluan untuk mempunyai internet berkelajuan tinggi.

Perpustakaan Desa Diperkasa Sebagai Pusat Komuniti Digital

Bagi melatih petugas-petugas yang bertugas di DCC, perancangan dan pelaksanaan latihan disediakan secara bersama oleh pihak KPKT, PBT dan agensi-agensi lain seperti Pustaka Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) untuk pelatih program GETS.
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here