Penerimaan dan sambutan pengguna terhadap Pusat Komuniti Digital (DCC) Kapit adalah sangat menggalakkan bahkan ramai komuniti setempat sedia maklum akan kewujudan DCC di Perpustakaan Awam Kapit.
Secara tidak langsung, ia telah menjadi satu tarikan dan galakkan kepada penduduk untuk mengunjungi perpustakaan sama ada untuk menggunakan perkhidmatan internet yang telah disediakan mahupun mendapatkan khidmat pertolongan dari petugas DCC.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengurus DCC Kapit Encik Usek Ugap yang ditemuramah oleh RAKAN Sarawak baru-baru ini, dan menurut beliau, rata-rata pengguna yang berkunjung ke DCC amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan terutamanya kemudahan internet.
Beliau menyifatkan inisiatif Kerajaan Sarawak mewujudkan DCC di Perpustakaan Awam Kapit adalah sesuatu yang amat baik kerana ia dapat membantu komuniti setempat menjadi lebih celik IT selain menyahut seruan kerajaan untuk merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Tuntasnya, semua pihak sama ada di bandar atau di luar bandar berhak untuk sama-sama menikmati kecanggihan teknologi berikutan ianya banyak memberi kesenangan dan kemudahan di dalam berurusan pada ketika ini, di saat negara kita berdepan dengan pandemik COVID-19.
Selain itu, DCC juga turut menjadi pusat sumber maklumat tanpa had dengan menggalakkan komuniti menggunakan kemudahan digital di DCC untuk mencari maklumat.
DCC juga sangat membantu dalam pembangunan ekonomi digital dengan menjadikan ia sebagai pusat untuk usahawan tempatan mempelajari kemahiran berniaga atas talian.
Encik Usek berpendapat, pihak Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) perlu melakukan penambahbaikan di setiap DCC dari segi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Penambahbaikan ini penting bagi menampung jumlah pengunjung yang lebih ramai dalam satu masa kerana adanya permintaan untuk meneruskan program-program seperti program ‘Reading Seeds’ dan ‘PANDeI’ di DCC Kapit pada masa akan datang.
Menurut beliau, sejak mula beroperasi, DCC Kapit telah melaksanakan lapan (8) program iaitu Pertandingan Video Pendek Mengenai Kesedaran Wabak Covid-19 pada 10 hingga 14 Ogos 2020 melibatkan 12 peserta.
Pada 7 Oktober 2020, seramai 31 orang telah terlibat dalam Program Pelancaran Rasmi DCC bersempena Perasmian IDECS (International Digital Economy Conference Sarawak).
Seterusnya pada 2 hingga 7 November 2020 telah berlangsungnya Program Inklusiviti Digital Fasa 1 melibatkan 88 orang peserta manakala pada 16 hingga 20 November merupakan Program Inklusiviti Digital Fasa 2 melibatkan 93 orang peserta.
Pada 9 Disember 2020, telah berlangsungnya Majlis Perasmian Penutupan Program Inklusiviti Fasa 1 dan Fasa 2 melibatkan 38 orang peserta.
Sementara itu, Pertandingan Poster Digital mengenai kesedaran wabak Covid-19 telah diadakan pada 15 hingga 31 Mac 2021 membabitkan 5 orang peserta.
Pada bulan Mei hingga Julai 2021 pula, Program Vaksinasi 2021 melibatkan Daerah Song dan Kapit telah diadakan di DCC Kapit manakala pada 15 Disember 2021 telah diadakan Lawatan Kerja YB Jefferson Jamit ke DCC untuk menyaksikan aktiviti lukisan 3D, Kreatif Puzzle dan aktiviti mewarna melibatkan 35 orang peserta.
Berhubung kriteria-kriteria sesebuah perpustakaan untuk melayakkan ia dinaiktaraf menjadi DCC, Encik Usek menjelaskan bahawa perpustakaan PBT sedia ada perlu dilengkapi dengan infrastruktur asas seperti bangunan, kawasan bacaan, koleksi perpustakaan, kakitangan dan sebagainya.
Selain itu, perpustakaan tersebut juga haruslah tanpa akses internet dan kemudahan komputer namun mempunyai penggunaan yang lebih baik dan tinggi dengan penglibatan komuniti yang aktif.
Kriteria seterusnya ialah pengenalpastian lokaliti yang sama antara kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
Baru-baru ini, pihak MPHLG dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) telah mencari lepasan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda yang berminat untuk menyertai Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS) untuk ditempatkan di semua DCC.
Petugas-petugas DCC telah menghadiri Bengkel Train of Trainers (ToT) Reading Seeds and People Accesible Netwoork for Digital Empowerment & Inclusivity (PANDeI) pada 9 hingga 11 September 2020 di RH Hotel, Sibu.