Pustaka Negeri Sarawak telah memperkenalkan program PANDei (People Accessible, Network, for Digital Empowerment & Inclusivity) kepada komuniti di Rh Nyuka, Lubok Lemba, Ulu Sarikei sempena Program Randau Digital yang dianjurkan oleh Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Jabatan Premier Sarawak pada 29 Mac 2022.
Program PANDei ini bertujuan untuk melengkapkan komuniti setempat dengan kemahiran digital asas supaya mereka tahu menggunakan alat-alat mudah alih untuk saling berhubung dengan orang lain dengan lebih baik dan mudah.
Menurut Cik Matilda Lenta anak Raymond Umpu, salah seorang fasilitator program PANDei yang sempat ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak, berkata, pihak mereka telah memberi penerangan tentang pengurusan maklumat dan komunikasi, penggunaan inisiatif digital kerajaan, cara berurusan secara digital dan juga keselamatan dalam talian kepada komuniti Rh Nyuka.
Pada pandangan beliau, penduduk di rumah panjang Nyuka ini mula faham tentang digital dan perkhidmatan-perkhidmatan digital yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak seperti Sarawak Pay.
Jelas beliau, sebelum ini mereka tidak faham dan tiada kesedaran tentang inisiatif-inisiatif digital yang dilaksanakan oleh kerajaan tetapi selepas Pustaka mengadakan program PANDei di rumah-rumah panjang, barulah mereka faham apakah makna, fungsi dan manfaat digital.
Pada hari ini, seramai 61 orang telah menyertai program PANDei serta mendaftar sebagai ahli Pustaka Negeri Sarawak, jelas beliau.
Selain daripada PANDei, Pustaka turut memperkenalkan program Reeding Seeds untuk ibu mengandung dan kanak-kanak berumur tiga tahun dan ke bawah di mana ia juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui ‘Open learning Reading Seeds’.
Komuniti Rh Nyuka semakin faham tentang perkhidmatan digital setelah diberi taklimat oleh Cik Emmyleya anak Kayan, salah seorang fasilitator program PANDei.
Cik Emmyleya menjelaskan, sebelum era digital, setiap urusniaga dan perkhidmatan memerlukan pengguna mengunjungi premis urusniaga dan kaunter perkhidmatan.
Kini, dengan adanya perkhidmatan digital, semuanya dapat dilakukan dengan hanya di hujung jari, malah terdapat pelbagai perkhidmatan secara digital yang disediakan bagi memudahkan dan menjimatkan masa pengguna.
Antara perkhidmatan secara digital yang wujud pada masa kini ialah e-wallet, e-hailing, e-delivery, e-dagang dan e-perbankan malah, terdapat pelbagai aplikasi mudah alih telah diwujudkan bagi memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan secara digital.
e-wallet atau dompet digital berfungsi seperti dompet fizikal iaitu menyimpan wang, kad debit, kad kredit dan juga maklumat akaun bank kita dalam satu aplikasi seperti Boost, Alipay, GrabPay, FavePAY dan Sarawak Pay.
Beberapa kelebihan e-Wallet ialah ianya menjimatkan masa kerana pengguna tidak perlu lagi beratur di bank dan tidak perlu menunggu wang baki.
E-wallet juga sangat mudah dan senang kerana ia bersifat mesra pengguna dan mudah digunakan selain ianya dapat meningkatkan kecekapan operasi kerana transaksi yang singkat dan pantas.
Penggunaan e-wallet juga sangat selamat dan terjamin kerana ia mengurangkan jumlah wang yang dibawa ke mana-mana selain sekuriti yang ketat dan terjamin.
Antara lain ialah, e-wallet turut merekod perbelanjaan, dengan kata lain, kita tidak memerlukan resit lagi kerana e-wallet dapat menyimpan rekod perbelanjaan.
Perbankan internet pula membolehkan pengguna menguruskan hal ehwal kewangan dari rumah, tempat kerja atau di mana-mana sahaja di serata dunia.
Perbankan internet mempunyai beberapa kelebihan iaitu caj yang dikenakan lebih murah; pengguna tidak perlu beratur untuk urusniaga dan perkhidmatan; urusan perbankan selama 24 jam; dan pengguna boleh berurusan dari rumah, luar negara dan di mana-mana sahaja.
Membeli belah secara dalam talian melalui laman sesawang (WEB) adalah sesebuah perniagaan yang diwujudkan seakan sebuah kedai di alam maya (digital) dan ia beroperasi 24 jam setiap hari dan boleh dilawati oleh pengguna pada bila-bila masa.
Membeli belah secara dalam talian menerusi media sosial seperti Facebook atau fan page pula merupakan halaman untuk peniaga atau usahawan memasarkan dan mempromosikan perniagaan mereka melalui aplikasi Facebook.
Turut ditekankan dalam taklimat beliau ialah tentang keselamatan dalam talian yang menjurus kepada kepentingan aspek privasi dan keselamatan sewaktu menggunakan platform digital sebagai medium untuk mendapatkan maklumat, bersosial, transaksi urusniaga atau berkomunikasi.
Jenayah siber adalah perlakuan yang mempunyai niat dan dikaitkan dengan komputer melalui apa-apa cara dan menyebabkan mangsa menderita atau boleh menyebabkan mangsa mengalami kerugian yang berterusan.
Jenis-jenis jenayah siber termasuklah pengintipan (stalker), perjudian dalam talian, penyebaran virus, penipuan (scam), cyber grooming, penggodam (hacker), buli siber (cyberbully) penyebaran berita palsu dan pishing attack.
Seseorang itu boleh menjadi mangsa jenayah siber apabila kurang pengetahuan dalam penggunaan teknologi siber dengan selamat.
Selain itu, berkongsi maklumat sensitif seperti lokasi semasa, nombor telefon, nombor kad pengenalan, nama ibu dan maklumat peribadi lain dan terpedaya degan SMS, panggilan daripada pihak yang tidak dikenali atau mencurigakan juga boleh menyebabkan anda menjadi mangsa penipuan.
Merujuk statistik, jumlah kesalahan jenayah siber di Malaysia dari tahun 2010 hingga 2021 (Januari-April) adalah seperti berikut;
- Macau Scam (10,762)
- African Scam (13,386)
- E-Dagang (20,029)
- Tipu SMS (11,409)
Untuk itu, beliau telah berkongsi beberapa tip untuk mengelak menjadi mangsa jenayah siber iaitu;
- Sentiasa ingat untuk daftar keluar dari mana-mana akaun media sosial
- Jangan terpedaya dengan pulangan dan peluang yang tidak realistik
- Jangan mudah terpedaya kepada sesuatu benda yang tidak betul
- Elakkan berhubung dengan orang yang tidak dikenali
- Jangan respons pada e-mel yang mencurigakan
- Elak untuk berkongsi maklumat peribadi