Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan satu inisiatif dikenali sebagai Jaringan Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak atau Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) sejak tahun lepas.
Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat dapat menikmati rangkaian komunikasi yang lebih baik dengan menyertai ekonomi digital yang merangkumi pelbagai spektrum seperti pendidikan, perdagangan, kewangan dan perbankan.
MySRBN merupakan program pemasangan peranti bagi meningkatkan capaian rangkaian jalur lebar di luar bandar dengan menggunakan penyelesaian teknologi Fixed Wireless Broadband (FWB).

MySRBN dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Sarawak seperti Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain bermatlamat untuk mendigitalkan ekonomi Sarawak dan menghubungkan masyarakat pedalaman dengan dunia luar, program MySRBN juga adalah salah satu usaha untuk mengatasi masalah yang berpanjangan iaitu liputan jaringan yang lemah di kawasan pedalaman di Sarawak.
Dengan memperluas liputan dan meningkatkan rangkaian jalur lebar ini, maka semua sektor di Sarawak akan dapat memanfaatkan faedah penyambungan digital.
Kerajaan Sarawak begitu komited dalam usaha menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ke kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak kerana mahu mengatasi masalah yang berpanjangan iaitu liputan jaringan yang lemah di kawasan pedalaman di Sarawak.

Dengan memperluas liputan dan meningkatkan rangkaian jalur lebar, semua sektor di Sarawak akan dapat memanfaatkan faedah penyambungan digital.
Untuk program MySRBN yang telah dilancarkan pada April 2021, Kerajaan Sarawak telah memberikan peruntukan berjumlah RM200 juta dengan membekalkan capaian Internet kepada 150 kawasan luar bandar.
Bagi fasa pertama, MySRBN boleh dinikmati di tempat awam seperti sekolah, tempat ibadat, perpustakaan dan dewan masyarakat, manakala fasa kedua fokus adalah kepada kawasan kediaman serta komuniti pinggir dan luar bandar negeri ini.
Program ini membolehkan masyarakat kita menikmati Internet secara percuma menerusi pakej Internet yang ditawarkan tanpa had dengan kelajuan sehingga 30Mbps.
Dengan merapatkan jurang digital diantara penduduk bandar dan pedalaman menerusi SRBN ini, ia akan memberi peluang baharu kepada penduduk pedalaman berkembang maju sebagai komuniti yang didorong oleh data dan inovasi.

Program MySRBN ini adalah bukti yang cukup jelas bahawa polisi ekonomi digital yang diilhamkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg sudah menjadi kenyataan dan sedang dirasai serta dinikmati oleh masyarakat luar bandar.
Pada hari ini, kawasan-kawasan yang jauh di pedalaman Sarawak tidak lagi tersisih dalam pelaksanaan infrastruktur digital, manakala murid-murid sekolah dan guru-guru kini dapat menjalani Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara dalam talian..
Bagi penduduk-penduduk kampung, mereka akan dapat menjalankan perniagaan secara dalam talian (online) kerana sudah boleh berhubung dengan pelanggan-pelanggan di bandar dan di seluruh dunia dengan adanya akses internet.

Kemudahan internet jika ia dimanfaatkan dengan bijak, akan dapat menjadi landasan untuk meningkat dan mempelbagaikan sumber ekonomi mahupun pendapatan masyarakat tempatan.
Sehubungan itu, SDEC telah menjalin kerjasama dengan Pusat Biodiversiti Sarawak dalam Program Pengaktifan Digital Produk Komuniti dengan melibatkan tujuh komuniti luar bandar yang mengusahakan produk tempatan seperti minyak engkabang dan minyak sekiu.
Dalam program ini, pengusaha produk akan menerima latihan dalam penggunaan akaun media sosial, membuat kempen pemasaran secara digital dan mempelajari cara menggunakan alatan digital yang sedia ada untuk menguruskan kewangan dan inventori.
Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan usahawan tempatan menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian sekali gus membantu perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.