Sebelum kemunculan mesin juruwang automatik (ATM) pada 1967, orang ramai hanya dapat mengeluarkan wang tunai dengan mengeluarkan baucar yang sah selama enam bulan.

ATM merupakan sejenis peranti telekomunikasi berkomputer yang menyediakan capaian transaksi kewangan kepada pelanggan institusi kewangan di kawasan tumpuan awam tanpa memerlukan juruwang manusia atau kerani bank.
ATM pertama yang dicipta oleh International Business Machines Corporation (IBM) telah diperkenalkan di Lloyds Bank United Kingdom (UK) pada Disember 1972.
Pada kebanyakan mesin ATM moden, identiti pelanggan dikenal pasti melalui kad ATM yang dilengkapi jalur magnetik atau kad pintar dengan cip, yang mengandungi maklumat nombor kad serta beberapa maklumat keselamatan seperti tarikh luput atau Card Verification Value/Code (CVV).
Melalui mesin ATM, pengguna boleh mengakses akaun bank mereka untuk melakukan pengeluaran wang, pembayaran kad kredit, pemindahan wang ke akaun lain serta semakan wang baki.
Sesetengah mesin ATM turut menyediakan khidmat pembelian kredit telefon bimbit, penambahan nilai kredit kad Touch n’ Go serta pembayaran bil utiliti.
Terdapat juga mesin ATM khusus untuk tujuan memasukkan wang yang dikenali sebagai mesin deposit wang (CDM).
Pada 1968 -1973, perintis sistem pembayaran iaitu Biro Inter-Komputer yang dikenali sebagai Bankers’ Automated Clearing Services (BACS) telah diperkenalkan di UK.
BACS diwujudkan untuk melangsaikan bayaran diantara bank-bank atau, bagi yang berkaitan dengan pasaran kerana ia akan memudahkan transaksi seperti memindahkan hak milik sekuriti.
Kemudian, Society of Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT) ditubuhkan untuk saling hubung sistem-sistem pembayaran domestik melangkaui sempadan.
Pada 1971, Bursa Saham Digital Pertama Dunia yang dikenali sebagai NASDAQ telah ditubuhkan sekali gus menandakan permulaan operasi pasaran kewangan tanpa interaksi manusia.
Di awal penubuhannya, NASDAQ hanya menyediakan sistem sebut harga untuk harga saham namun tidak menyediakan kaedah untuk melakukan perdagangan elektronik.
Pada 1980, perbankan internet telah diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) dan di UK pada 1983 oleh Nottingham Building Society (NBS).

Pada tahun 1981, empat (4) bank besar di Bandar New York telah menyediakan kemudahan kepada pelanggan mereka untuk mengakses akaun peribadi melalui kabel talian telefon darat/tetap.
Pada 1984, pembeli dalam talian pertama di dunia, Jane Snowball telah menggunakan sistem Gateshead SIS/Tesco untuk membeli makanan daripada Tesco.
Sejak itu juga, perbankan internet telah mula diperkenalkan secara beransur-ansur dengan platform yang paling terkenal ketika itu ialah PayPal iaitu perkhidmatan yang menyediakan cara yang cepat dan pantas untuk menerima pembayaran dan juga membuat pembayaran.
Pada 1993, teknologi kewangan telah dicipta sebagai sebahagian daripada Konsortium Teknologi Perkhidmatan Kewangan oleh Citicorp (lebih dikenali dengan nama perbankannya Citibank).
Pada 1998, sebilangan besar bank di Amerika Syarikat menubuhkan laman sesawang transaksi pertama bagi perbankan Internet.
Laman sesawang transaksi memberikan pelanggan keupayaan untuk melakukan transaksi melalui laman sesawang institusi kewangan dengan memulakan transaksi perbankan atau membeli produk dan perkhidmatan.
Urus niaga perbankan terdiri daripada sesuatu yang asas seperti pertanyaan baki akaun runcit kepada pemindahan dana perniagaan ke perniagaan yang besar.
Tahun 1999 adalah zaman kewujudan gergasi internet iaitu tempoh pertumbuhan pesat dalam penggunaan internet dengan permulaan impian dotcom seperti Amazon, Google dan Paypal.

Pada hari ini, perkembangan internet dan teknologi telah menyaksikan Malaysia akan menuju ke arah masyarakat tanpa tunai secara menyeluruh menjelang tahun 2050.
Perkembangan teknologi peranti mudah alih telah menyokong bagaimana kita berkomunikasi dan berhubung, dan menjadi salah satu faktor penerimaan dan penggunaan pembayaran digital.
Teknologi pembayaran digital yang juga dikaitkan dengan pembayaran tanpa tunai bukan lagi sesuatu yang asing di Malaysia khasnya dan Sarawak amnya.

Pembayaran digital adalah pembayaran transaksi melalui media digital yang terdiri daripada;
- Dompet elektronik
- Perbankan internet
- Pindahan dana elektronik
- Sistem tunai elektronik
- Sistem simpanan nilai dalam talian
Terdapat sembilan (9) platform pembayaran digital yang biasa digunakan di Malaysia ialah Vcash, Samsung Pay, Alipay, Visa Checkout, Masterpass, Paypal, CIMB Pay dan MOLPay.
Di Sarawak pula, aplikasi dompet elektronik Sarawak Pay yang kini dikenali sebagai S Pay Global telah diguna pakai secara meluas sejak ia mula diperkenalkan.

S Pay Global bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan perkhidmatan transaksi dalam talian kepada penduduk yang tinggal di luar bandar menerusi ejen lantikan bank.
Dengan adanya saluran pembayaran seperti yang dinyatakan di atas, transaksi tanpa tunai atau cek sudah pasti lebih mudah dan cepat.