Pepatah ada mengatakan, “perjalanan beribu batu bermula dengan langkah yang pertama” dan tidak keterlaluan jika dikatakan pembangunan ekonomi digital Sarawak pada awalnya juga bertitik tolak kepada kejayaan penganjuran Persidangan Ekonomi Digital dan Infrastruktur ICT Antarabangsa Sarawak (IDECS) yang pertama pada tahun 2017.
Walaupun ketika itu, sasaran hanya untuk membina asas ekonomi digital disebabkan Sarawak belum memiliki pelan besar dan strategi khusus dalam pembangunan ekonomi digital. Berkat kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang berpandangan jauh serta keberanian jentera perkhidmatan awam meneroka sektor yang agak baharu ketika itu di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani telah membuahkan hasil daripada satu penganjuran IDECS tahun ke tahun.
Apa dapat disaksikan daripada penganjuran IDECS kali pertama (2017) telah menghasilkan lapan Resolusi persidangan ke arah mentransformasikan Sarawak melalui Ekonomi Digital.
Keputusan berani tersebut juga sebagai langkah pertama persediaan menghadapi era digital yang bakal mendasari pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Resolusi yang digariskan tersebut termasuklah Resolusi pertama ialah penubuhan bank oleh Kerajaan Negeri yang akan dikenali sebagai Bank Pembangunan Sarawak (DBOS). Bank itu akan dikendalikan dengan model kewangan dan akan membantu membiayai projek impak tinggi selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan Pelan Transformasi Sosioekonomi (2016-2030). Resolusi kedua dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai sebuah kuasa siber ialah penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk mengawal selia pembangunan infrastruktur ICT dan penggunaan teknologi digital.
Penghujung tahun itu juga Kerajaan Negeri perlu menyiapkan rangka kerja dan meluluskan undang-undang terlebih dahulu. Resolusi ketiga pula berkaitan dengan penubuhan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk menyelaras dan mengurus semua inisiatif ekonomi digital dengan tumpuan kepada bidang utama iaitu infrastruktur, e-kerajaan, pembangunan bakat, e-dagang, dan keselamatan siber.
Resolusi keempat memberi penekanan kepada aspek kelajuan infrastruktur ICT dengan Kerajaan Negeri tetap komited dalam meningkatkan penyambungan kelajuan infrastruktur ICT negeri untuk memperkukuhkan tulang belakang lebuh raya digital negeri dan seterusnya meningkatkan aliran trafik digital Kerajaan Negeri juga mengumumkan kesediaan untuk memperuntukkan RM1 bilion untuk meningkatkan infrastruktur ICT di Sarawak.
Seterusnya, resolusi kelima adalah tentang mewujudkan Digital Village (Perkampungan Digital) dan E-Commerce Transformation Plan (Pelan Transformasi E-Dagang) atau E-ComY30. Menurut beliau, Perkampungan Digital dicadangkan terletak di Sama Jaya bagi menempatkan 50 buah inkubator sebagai kumpulan perintis yang akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan di situ dan yang kemudian akan diperluaskan ke Bahagian lain di
Sarawak.
E-ComY30 pula akan menyediakan para belia sebagai usahawan yang mempunyai pengetahuan digital luas dengan memulakan urusan perniagaan dan perdagangan secara digital di Perkampungan Digital itu. Resolusi keenam dan ketujuh adalah mengenai promosi e-pembelajaran kepada generasi muda berkaitan perisian dan teknologi, dan promosi pelaburan untuk menjadikan Sarawak sebagai lokasi pusat data. Resolusi kelapan adalah tentang mengadakan beberapa buah makmal, bengkel dan perbincangan dalam jangka masa enam bulan berikutnya untuk mencari pendekatan terbaik dan
merangka Pelan Digital untuk Sarawak.
Langkah seterusnya, setelah berakhirnya IDECS 2017, adalah untuk merealisasikan setiap resolusi yang telah dimuktamadkan dan komponen penting seperti yang tercatat pada resolusi kelapan iaitu menghasilkan Pelan Digital – kini dikenali sebagai Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 – yang akan menjadi nadi penting dalam menentukan hala tuju ekonomi digital di Sarawak. Bertitik tolak daripada itu, usaha digerakkan untuk menghasilkan sebuah dokumen strategi bagi menentukan tindakan dan strategi yang bakal dilaksanakan untuk lima tahun yang akan datang.
Menyahut cabaran tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri bersama dengan Pasukan Berprestasi Tinggi (High Performance Team) yang merentasi kementerian, agensi dan jabatan telah mengadakan beberapa sesi makmal bersama dengan sektor swasta dan pihak-pihak yang berkepentingan.
Sebelum itu, beberapa buah platform seperti sesi percambahan fikiran dan sesi perbincangan melalui makmal digunakan untuk mendapatkan maklum balas tentang apa yang diperlukan untuk ekonomi digital Sarawak serta menentukan sektor ekonomi digital yang perlu diberi perhatian.
Begitu juga dengan input tambahan yang diperoleh daripada ‘Sesi dan Dialog Bersama Ketua Menteri dan Pemain Industri’ di samping inputinput baharu hasil daripada lawatan ke beberapa buah negara termasuklah Australia, Finland, Estonia, Jerman, Perancis dan China Sehinggalah tiba 13 Disember 2017, yang merupakan tarikh bersejarah apabila dokumen Strategi Ekonomi Digital Negeri 2018-2022 dilancarkan oleh Ketua Menteri ketika Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri. Dokumen Strategi Ekonomi Digital Negeri 2018-2022 menyenaraikan 47 tindakan strategik daripada 17 bidang di bawah empat buah kelompok yang merangkumi Tadbir Urus dan Infrastruktur, Sektor Ekonomi, Bandar Pintar serta Bakat dan R&D.
Daripada 47 tindakan strategik tersebut, 29 mengandungi tindakan strategik bersifat lebih kepada sektor ekonomi manakala 18 tindakan strategik lebih bersifat sebagai penggerak.
Dokumen strategi ini bersifat dinamik bersesuaian dengan perubahan ekonomi digital yang akan diterajui oleh dua buah agensi – SMA dan SDEC – yang dipertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan polisi dan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 berjalan lancar. Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 akan menjadi nadi penting yang akan menentukan hala tuju ekonomi digital mengandungi tindakan dan strategi untuk lima tahun yang akan datang.
Bidang-bidang berkaitan dari 47 tindakan strategik itu ialah Perundangan dan Tadbir Urus, Infrastruktur Digital, Digital dan Data, Keselamatan Siber, Kerajaan Digital, Pertanian, Pelancongan, Pembuatan, e-Dagang, Kesihatan, Infrastruktur Fizikal dan Utiliti, Perumahan dan Pembangunan Bandar, Pengangkutan, Logistik dan Rantaian Bekalan, Pengurusan Bakat, Perkampungan Digital, Pusat Kecemerlangan dan Keterangkuman Digital.
Walaupun dokumen hanya dilancarkan pada akhir tahun, namun beberapa inisiatif dapat dilihat lebih awal (2017), iaitu pada 14 Mac apabila satu aplikasi mudah alih SarawakGov telah dilancarkan menyediakan perkhidmatan maklumat Kerajaan Negeri seterusnya pada 15 November, satu aplikasi kemudahan ‘e-wallet’ bagi tujuan pembayaran yang juga satusatunya platform FinTech Sarawak, Sarawak Pay telah dilancarkan.
Dua (2) entiti penting iaitu SMA dan SDEC (terkandung dalam resolusi ke 2 dan ke 3), telah dilancarkan pada 13 Disember 2017 dengan diperkukuhkan kerangka perundangan melalui Ordinan Rang Undang-undang SMA diluluskan pada 8 November dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.
Manakala Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), terkandung dalam resolusi pertama telah diperbadankan pada 11 Mei 2017 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2018 Aspek e-pembelajaran (seperti dalam resolusi ke 6), mula dirintis pada 10 November melalui kerjasama antara Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) dengan Huawei Technology (Malaysia) pada 10 November untuk mewujudkan makmal digital di Sarawak, selain pembangunan platform e-pembelajaran dan infrastruktur ICT. Manakala pada suku ketiga tahun tersebut juga (2017), dapat disaksikan penubuhan hab-hab inovasi digital seperti Swinburne’s Centre for Digital Future, Pusat Kecemerlangan Transformasi Digital, UNIMAS di samping Hab Inovasi Digital TEGAS yang pertama (23 Ogos 2017) di Kuching dan Sarikei Innovation Centre (17 September 2017). Satu usaha perancangan besar telah dimulakan dengan pembinaan perkampungan Digital di Samajaya yang dijangka siap pada tahun 2020.
Beralih kepada penganjuran IDECS ke-2 (2018), menyaksikan kesinambungan pelaksanaan pelan strategik Sarawak ke arah ekonomi digital dengan fokus kepada merealisasikan beberapa inisiatif di bawah Kerajaan Digital seperti ‘Service Sarawak’ (Perkhidmatan Sarawak) dilancarkan secara rasmi pada 12 Disember 2018 (mula beroperasi pada 1 Oktober 2018) manakala (Sarawak ID) (Sistem identiti digital yang diperkenal bagi memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan dan membantu peralihan ke arah kerajaan digital turut diperkenalkan pada tahun tersebut.
Fokus tema IDECS 2018, lebih menjuruskan kepada aspek “Meningkatkan Kualiti Hidup dan Pertumbuhan Ekonomi Baharu” dengan melihat secara mendalam bagaimana analisis data, komuniti pintar dan kerajaan digital dapat membentuk satu ekosistem data ekonomi yang luas . Satu platform data terbuka Sarawak turut dilancarkan pada tahun tersebut yang boleh diakses di https://data.sarawak.gov.my/
Bukan itu sahaja, aspek penerimaan masyarakat turut diambil perhatian terutama aspek literasi digital juga mula dilaksanakan dengan keyakinan bahawa budaya digital dapat dipupuk dalam kalangan rakyat Sarawak melalui beberapa program utama antaranya program PANDei (People, Accessible, Network for Digital Empowerment) anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Randau Digital oleh Angkatan Zaman Mansang.
Pada penganjuran IDECS 2019, bertemakan ‘Membayangkan Masa Depan Sarawak.’pula, kerajaan Sarawak memfokuskan kepada menubuhkan makmal terbuka menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk menerokai dan melakukan penyelidikan ke atas inisiatif-inisiatif digital baharu bagi menyokong pembangunan ekonomi digital Sarawak. Pada IDECS 2019 juga SMA telah menandatangani 10 memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai pemain teknologi digital antarabangsa bagi mempercepatkan lagi usaha ke arah ekonomi digital.
Pada tahun tersebut juga, beberapa aplikasi pintar turut dibangunkan di bandar raya Miri sebagai projek perintis manakala pelan induk bandar pintar untuk bandar raya Kuching ketika itu masih dalam peringkat perancangan Kerajaan Sarawak turut mengenal pasti 140 persimpangan di kawasan Kuching untuk pemasangan lampu isyarat pintar dan akan diperluaskan kebandar utama di Bintulu, Miri dan Sibu.
Selain itu, kerajaan Sarawak turut membangunkan pusat operasi bersepadu Sarawak dan platform CCTV untuk menyatukan maklumat untuk memantau dan menguruskan bencana, Keselamatan, Keselamatan dan pembangunan di negeri ini.
Beberapa inisiatif baharu juga mula diperkenalkan seperti Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) merupakan inisiatif di bawah Jabatan Ketua Menteri bertanggungjawab atas inisiatif untuk memelihara dan memulihara warisan dan budaya melalui teknologi pintar.
Pada tahun tersebut juga, sebagai pendedahan kepada pertanian atau perladangan pintar seramai 14 orang petani terlibat dalam 40 plot fertigasi menggunakan teknologi secara digital di Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Rampangi.
Daripada segi sistem penyampaian Kerajaan Digital, beberapa inisiatif terdahulu juga telah diperluaskan seperti Service Sarawak di Sibu dan Miri yang semuanya telah memulakan beroperasi pada 7 Oktober 2019. Secara keseluruhan, Sarawak kini melalui fasa pertengahan ekonomi digital seperti yang termaktub dalam Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 yang menyaksikan kerajaan Sarawak telah menyediakan sejumlah RM750 juta bagi tujuan tersebut setakat ini dan untuk tahun 2020, sejumlah RM400 juta akan disediakan bagi meneruskan pelaksanaan pelbagai aktiviti ekonomi digital.
kerajaan Sarawak turut membangunkan pusat operasi bersepadu Sarawak dan platform CCTV untuk menyatukan maklumat untuk memantau dan menguruskan bencana, Keselamatan, Keselamatan dan pembangunan di negeri ini
Ini termasuklah pembinaan 300 buah menara telekomunikasi, Pertanian Pintar dan Lampu Isyarat Pintar. Pusat Operasi Bersepadu Sarawak (SIOC), Hab Inisiatif dan Inovasi Kampung Digital sedang giat dibangunkan, Kolaborasi Berasaskan Kawasan (ABC) Geran penyelidikan untuk membangunkan komponen digital dalam sektor ekonomi dan Memperkasakan serta Mempertingkatkan Kemahiran Graduan.
Kerajaan Sarawak sedang berusaha menaik taraf perhubungan telekomunikasi yang dilaksanakan secara berperingkat agar semua kawasan akan dirangkumi dengan pembinaan kira-kira 600 buah menara telekomunikasi di kawasan luar bandar menjelang tahun 2022 dan daripada itu, 300 buah menara telekomunikasi akan siap dibina pada 2020.
Kerajaan Sarawak melalui SMA turut menubuhkan sebuah kemudahan pusat sehenti R&D iaitu COE OpenLab yang akan menjadi tuan rumah alat teknologi dan platform digital daripada rakan kongsi teknologi strategik termasuk Industri Binaan Malaysia (IBM), Huawei, Honeywell, Keysight Techologies, Fusionex dan General Electric.
Melalui COE OpenLab ini, ia akan memudahkan pengeluaran hasil penyelidikan, produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di peringkat global. Untuk mendapatkan kerjasama daripada rakan industri strategik, SMA telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IBM Malaysia Sdn Bhd dalam Kecerdasan Buatan; General Electric (GE) Malaysia dalam Industri 4.0; Huawei Technology (Malaysia) Sdn Bhd dalam Narrowband Internet of Things (NBIoT); Fusionex International dalam Data Besar (Big Data); Keysight Technologies Sdn Bhd dalam Internet untuk Segalanya (Internet of Things atau IoT) dan Honeywell International Sdn Bhd dalam Bandar Pintar (Smart City).