Unit Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak bertanggungjawab dalam meningkatkan kecekapan dan kemahiran pegawai serta kakitangan melalui dua kategori utama iaitu Pembangunan Kapasiti Modal Insan (Individu) dan Inisiatif Kualiti.
Fungsi utama dalam kategori Pembangunan Kapasiti Modal Insan (Individu) adalah untuk mempertingkatkan kemahiran serta ilmu pengetahuan pegawai dan kakitangan agar dapat mengendalikan tugasan harian dengan lebih cekap dan berkesan.
Cawangan ini bertanggungjawab untuk merancang, menyediakan, dan melaksanakan latihan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan tersebut di mana latihan yang disediakan meliputi kursus, bengkel, latihan praktikal (hands-on training), serta program mentor/mentee.
Selain itu, cawangan ini turut menguruskan peperiksaan subjek jabatan yang digunakan untuk pengesahan jawatan dan peningkatan perkhidmatan secara berterusan, khususnya dalam bidang teknikal seperti Tanah, Penilaian, Survei, Perancangan, Kejuruteraan, dan Penguatkuasaan.
Kategori kedua adalah berkaitan dengan inisiatif kualiti, yang merupakan aspek penting dalam memastikan JTS Sarawak kekal seiring dengan ekosistem kualiti dan inovasi yang diterapkan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS).
Cawangan ini bertanggungjawab untuk merancang dan menguruskan aktiviti kualiti tahunan, memastikan semua inisiatif yang ditetapkan dapat dilaksanakan dengan sistematik.
Antara aktiviti utama yang terkandung dalam kalendar aktiviti kualiti adalah Hari Inovasi dan Integriti (HIITS), yang mana sejak 2018, majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YAB Premier Sarawak.

HRD JTS yang berada di bawah seliaan Timbalan Pengarah Pengurusan kini diketuai oleh seorang Ketua Unit yang bertanggungjawab terhadap operasi keseluruhan HRD, disokong oleh enam (6) pegawai dan kakitangan lain dalam pelbagai pangkat.
Demikian diterangkan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Encik Awang Zamhari bin Awang Mahmood ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.
Dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini (2022-2024), JTS telah melaksanakan usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam secara holistik.
Sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, JTS telah menjalin kolaborasi dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah program Makmal Satelit JTS-UTM, bermula pada tahun 2021.

Kolaborasi ini melibatkan pelaksanaan program Sarjana Kejuruteraan Geomatik bagi 15 pegawai dari Cawangan Survei dan Perancangan, serta program Sarjana Pentadbiran dan Pembangunan Tanah bagi 15 pegawai dari Cawangan Tanah, Penilaian, dan Penguatkuasaan.
Program ini bertujuan untuk memperkasa kemahiran dan pengetahuan para pegawai dalam bidang tugas mereka.
Dalam aspek digitalisasi, JTS mengaplikasikan teknologi untuk menggantikan proses manual seperti rekod kehadiran dan cetakan atur cara program.

Ini selaras dengan inisiatif untuk mengurangkan penggunaan kertas dalam penganjuran program, menyokong kelestarian alam sekitar.
Dari segi sosial, program latihan di JTS disediakan secara inklusif, memberi peluang kepada semua lapisan kakitangan untuk menghadiri program yang relevan dengan tugas mereka, tanpa mengira jantina, usia, atau latar belakang.
JTS juga menekankan elemen tadbir urus yang cekap dengan menggunakan platform SCS Scorecard sebagai alat untuk melaporkan prestasi jabatan.
Laporan prestasi ini dibentangkan secara berkala kepada pihak pengurusan untuk memastikan tadbir urus yang cekap, mematuhi prosedur, dan mencapai KPI yang ditetapkan.
Di samping itu, JTS juga menggalakkan inovasi dalam pengurusan organisasi serta pelaksanaan projek.
Salah satu contoh utama adalah projek Rural Transformation Project (RTP) Smart, yang dibangunkan oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Lands Tahai-Q, JTS Limbang.
Projek ini adalah inovasi sistem yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan proses pertapakan projek pembangunan di bawah kerajaan Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.
Projek RTP ini menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan sosial untuk masyarakat luar bandar, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.
Secara keseluruhan, Unit Pembangunan Sumber Manusia di Jabatan Tanah dan Survei Sarawak memainkan peranan yang penting dalam memastikan peningkatan kapasiti modal insan dan pelaksanaan inisiatif kualiti yang menyokong pencapaian objektif perkhidmatan awam.
Dengan penglibatan dalam program pendidikan, penggunaan teknologi, serta penekanan terhadap amalan ESG, JTS berusaha untuk kekal relevan dan cekap dalam memenuhi tuntutan era digital dan globalisasi.
