INSODERS dibangunkan dengan tujuan untuk mengintegrasikan data pembangunan sosial di seluruh Sarawak, dengan mengambil kira sepuluh tunjang di bawah Kerangka Transformasi Sosial Sarawak (KTSS) yang meliputi 15 domain yang penting untuk kesejahteraan masyarakat.
Secara dasarnya, Sarawak mempunyai 12 Pejabat Residen di 12 Bahagian, masing-masing memiliki Seksyen Transformasi Sosial yang berhadapan dengan masalah yang serupa.
Masalah ini dapat dikenal pasti melalui sesi pertemuan dan libat urus yang dijalankan dengan pejabat Residen di seluruh negeri.
Hasil libat urus tersebut mendapati adanya keperluan untuk membangunkan satu sistem yang lebih sistematik dan bersepadu untuk memantau perkembangan sosial di peringkat bahagian dan daerah masing-masing.
INSODERS menjadi penyelesaian dalam menangani cabaran pengurusan data pembangunan sosial yang sebelumnya masih menggunakan kaedah manual seperti surat-menyurat, borang, dan laporan tanpa format yang seragam.
Projek INSODERS amat relevan dengan fungsi dan peranan Pejabat Residen yang terdiri daripada empat seksyen penting iaitu Seksyen Transformasi Sosial, Seksyen Pembangunan dan Perancangan Strategik, Seksyen Khidmat Pengurusan, dan Unit Integriti.
Sebelum pelaksanaan INSODERS, pengurusan data sosial di semua pejabat Residen berhadapan dengan beberapa cabaran kritikal.
Salah satu isu utama adalah kekurangan format pelaporan yang seragam menyebabkan data dan statistik dihantar menggunakan pelbagai format sehingga menyebabkan penggunaan kertas yang berlebihan iaitu dianggarkan sebanyak 1.36 juta helai kertas digunakan dalam setahun.
Sistem yang digunakan sebelum ini juga memerlukan 29 hari bekerja untuk mengumpul data melalui 14 proses kerja yang memakan banyak masa dan tenaga ditambah lagi dengan kekurangan kepakaran dalam pengurusan analitik data telah menyukarkan lagi keadaan.
Bagi menangani masalah ini, kumpulan IPOK telah membangunkan INSODERS iaitu sebuah platform perkongsian data kolaboratif yang membolehkan 15 domain berkaitan melaporkan data secara digital, mempercepatkan pengumpulan dan analisis data, serta mengurangkan penggunaan kertas.
Projek ini akhirnya telah mendapat kelulusan daripada Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh pada 5 April 2023.
Matlamat utama INSODERS adalah untuk memastikan statistik pembangunan sosial diuruskan dengan efisien untuk memudahkan proses merangka polisi dan intervensi sosial yang lebih tepat dan berkesan.
Sebelum ini, dengan pengurusan data yang tidak efisien, terdapat banyak kekangan dalam penyampaian maklumat yang tepat pada masanya.
Namun, INSODERS telah memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta teknologi digital untuk menggantikan proses manual dengan sistem digital yang lebih cekap dan tepat, menyokong kecanggihan pengumpulan, analisis, dan penyampaian data.
Sistem ini seterusnya telah meningkatkan kredibiliti data yang diperoleh, menjadikannya lebih sahih dan boleh dipercayai.
Dengan menggunakan INSODERS, setiap agensi kerajaan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan dapat mengemas kini data pembangunan sosial secara bersepadu pada setiap suku tahun sekaligus telah menjadikan proses penyelarasan antara agensi lebih lancar dan efisien.
Hal ini penting kerana data yang sahih dan tepat pada masanya mampu memberi gambaran yang jelas mengenai keadaan sosioekonomi masyarakat dan keperluan mereka.
Projek INSODERS ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), yang melantik Residen di 12 Bahagian Sarawak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Sosial Bahagian (JPPSB).
Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) berfungsi sebagai sekretariat di peringkat negeri, manakala Seksyen Transformasi Sosial Bahagian (STSB) berperanan sebagai sekretariat di peringkat bahagian.
Di Bahagian Mukah, 15 domain pembangunan sosial dipengerusikan oleh 24 agensi kerajaan, yang terdiri daripada kerajaan negeri dan persekutuan.
Melalui penyelarasan antara agensi ini, INSODERS memberikan kesan yang signifikan dalam meningkatkan kecekapan dalam pengurusan data.
Sebagai contoh, di Bahagian Mukah, semua 24 agensi telah mengadaptasi INSODERS untuk mempercepatkan proses kemas kini dan pengumpulan data, menjadikan platform ini lebih mudah diakses dan dianalisis dengan tepat.
Salah satu tujuan utama INSODERS adalah untuk memastikan data yang terkumpul digunakan sebagai panduan dalam membuat keputusan dan merangka dasar kerajaan yang lebih berkesan.
Kesejahteraan rakyat dapat dicapai apabila keputusan kerajaan didasarkan pada situasi sebenar dan data yang sahih, bukan sekadar andaian.
Dengan data yang lebih mudah diakses, kemahuan dan keperluan rakyat dapat difahami dengan lebih jelas, memudahkan pembentukan program-program pembangunan yang relevan dan berorientasikan rakyat.
Projek ini juga berpotensi untuk menjadi instrumen pengukuran Indeks Kesejahteraan Sosial yang boleh membantu dalam memantau keberkesanan program-program sosial di Sarawak.
Hasil temu bual bersama dengan Kumpulan IPOK yang diketuai Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Bahagian Mukah, Encik Mohd Hafizul Rahman B. Nordin, dapat dilihat bahawa INSODERS ini telah berjaya membawa perubahan yang signifikan dalam pengurusan data sosial di negeri ini.

Antara pencapaian yang ketara ialah, INSODERS telah berjaya mencapai sasaran untuk memastikan 100% laporan diseragamkan dengan penggunaan tabulasi data yang seragam.
Sebelum pembangunan INSODERS, purata penggunaan kertas adalah sebanyak 124,392 helai setiap suku tahun.
Sasaran untuk mengurangkan penggunaan kertas sebanyak 50% berjaya dicapai, malah INSODERS berjaya mengurangkan penggunaan kertas sebanyak 92% dengan hanya 9,928 helai kertas digunakan.
Sebelum ini, kitaran pengumpulan data mengambil masa selama 29 hari bekerja namun, melalui INSODERS masa yang diperlukan untuk melengkapkan kitaran pengumpulan data dapat dikurangkan sebanyak 86% iaitu hanya mengambil masa selama 4 hari bekerja.
Sebelum ini juga, terdapat 14 proses kerja manual yang digunakan tetapi INSODERS telah berjaya mengurangkan proses kerja ini sebanyak 64%, menjadikan hanya 5 proses kerja yang perlu dijalankan, sekali gus menjimatkan masa dan sumber daya.
Begitu juga dengan laporan dan carta yang mengambil masa sekitar 5 hari bekerja untuk dihasilkan namun dengan adanya INSODERS, laporan kini boleh dihasilkan dalam masa hanya 1 hari bekerja, sekaligus telah mengurangkan masa yang diperlukan sebanyak 80%.
INSODERS telah memperkenalkan pelaksanaan program menggunakan warna kod yang menunjukkan 100% program intervensi berdasarkan fakta dan data yang sahih.
Sebelum pembangunan INSODERS, program dan intervensi dijalankan tanpa merujuk kepada data yang tepat.
INSODERS berjaya meningkatkan perancangan program intervensi sosial dengan 100% berasaskan analisis data yang terkini dan tepat.
Program-program ini kini dilaksanakan dengan menggunakan warna kod untuk memaparkan perancangan berdasarkan data yang sahih.
Dengan pencapaian-pencapaian ini, INSODERS telah berjaya memperkenalkan sistem yang lebih cekap, mesra alam, dan memudahkan pengurusan data pembangunan sosial secara keseluruhan.
Kejayaan pelaksanaan INSODERS ini mencerminkan bahawa ia berpotensi untuk diadaptasi di peringkat nasional, menjamin kesediaan pelaksanaan di seluruh Malaysia.
Kesimpulannya, melalui INSODERS, Sarawak bukan sahaja mengorak langkah dalam inovasi sosial, tetapi juga menempatkan diri sebagai contoh terbaik dalam penggunaan teknologi untuk memperbaiki pengurusan data pembangunan sosial.

Sebagai platform digital yang menghubungkan pelbagai agensi kerajaan, INSODERS membantu mempercepatkan proses penyampaian maklumat yang lebih tepat, meningkatkan kecekapan operasi, serta memperkukuhkan dasar pembangunan sosial yang lebih berkesan dan berorientasikan rakyat.
Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Sarawak, malah menjadi model yang berpotensi untuk dilaksanakan di seluruh negara.