26.8 C
Kuching
Wednesday, February 12, 2025

Menggalakkan Perkhidmatan Mobiliti Hijau Baharu

- Advertisement -
- Advertisement -

Perkhidmatan mobiliti baharu yang lebih mesra alam merupakan kejayaan besar bagi bandar-bandar yang menyediakan lorong basikal dan insentif lain dalam usaha menggalakkan penggunaan mobiliti baharu dalam kalangan warga kota.

Namun demikian, untuk melancarkan perkhidmatan mobiliti baharu dengan lebih berkesan dan pada masa yang sama mengekalkan rangkaian transit massa yang kritikal memerlukan perancangan yang teliti.

Berdasarkan kajian oleh Oliver Wyman Forum dan kajian Institusi Pengangkutan Universiti California, Berkeley, hasil tahunan 13 perkhidmatan mobiliti hijau baharu global yang paling popular dijangka meningkat daripada USD260 bilion pada 2020 kepada USD660 bilion pada 2030.

Terdapat tiga (3) kaedah utama bandar-bandar di dunia boleh menggalakkan pilihan mobiliti hijau baharu untuk jangka masa panjang tanpa mengurangkan jumlah penumpang transit besar-besaran.

1. Memanfaatkan sepenuhnya penggunaan mikromobiliti

Bandar-bandar boleh memanfaatkan sepenuhnya potensi penggunaan mikromobiliti, iaitu kenderaan ringan seperti skuter elektrik dan basikal dengan fokus di peringkat permulaan di kawasan bandar yang tiada atau kurang sistem pengangkutan besar-besaran.

Penggalakan penggunaan mobiliti baharu seperti mikromobiliti memerlukan perancangan teliti untuk jangka masa panjan

Walaupun perkhidmatan bas, trem dan rel ringan elektrik setakat ini merupakan mod pengangkutan bandar bermotor yang paling cekap dan mesra alam, perkhidmatan jenis ini tidak dapat membawa penumpang ke mana-mana tempat yang hendak ditujui.

Kelebihan pada mikromobiliti ialah boleh membawa pengguna berulang-alik hingga ke destinasi terakhir, terutama di bandar yang mempunyai kepadatan stesen kereta api yang lebih rendah.

Purata perjalanan skuter elektrik hanya mengambil masa kira-kira 12 minit. Di bandar-bandar di Amerika Syarikat yang didominasi kereta, 60% daripada semua perjalanan adalah kira-kira 8 kilometer atau kurang yang boleh dilalui dengan mudah menggunakan basikal elektrik ataupun moped.

Mikromobiliti kadangkala boleh menawarkan alternatif kepada perkhidmatan teksi yang berpatutan serta rendah pelepasan karbon.

Untuk meningkatkan sinergi antara mobiliti baharu dan transit besar-besaran, bandar-bandar di dunia boleh menyediakan hab mikromobiliti di stesen kereta api bawah tanah.

Analisis di Washington, D.C. menunjukkan bahawa peningkatan 10% dalam penggunaan tahunan program Capital Bikeshare akan menyumbang kepada peningkatan 2.8% dalam purata penumpang metro harian.

Sebagai sebahagian daripada Strategi Mobiliti 2035, bandar raya Munich merancang untuk memasang sehingga 200 hab mobiliti yang membolehkan pengguna mencari basikal, kereta dan skuter kongsi yang kebanyakannya dihubungkan dengan stesen kereta api bawah tanah.

Bandar raya Munich merancang untuk memasang sehingga 200 hab mobiliti yang membolehkan pengguna mencari basikal, kereta dan skuter kongsi yang dihubungkan dengan stesen kereta api bawah tanah

Penggunaan mikromobiliti juga cenderung untuk berkembang apabila ruang atau laluan ditetapkan seperti lorong basikal di sepanjang jalan di bandar.

2. Menggunakan kenderaan dengan lebih efisien

Bandar besar dan kurang padat berkemungkinan besar kekal bergantung pada penggunaan kereta. Akan tetapi, perkongsian kereta dan perkhidmatan e-hailing boleh membantu mengurangkan masalah dalam mendapatkan tempat letak kereta.

Kebiasaannya, kereta milik persendirian diletakkan di parkir pada setiap masa dengan kadar 95% dan kebanyakan kereta yang diparkir menghalang laluan mod mobiliti lain seperti lorong basikal atau laluan trem atau boleh membawa kepada kawasan lapang sedia ada diubah suai menjadi tempat letak kereta.

Sistem parkir kereta pintar mampu mengurangkan kesesakan di kawasan parkir serta mampu mengurangkan pelepasan karbon di udara

Walau bagaimanapun, perkhidmatan e-hailing boleh menambah kesesakan trafik apabila para pemandu berlegar-legar menunggu pelanggan selain menyumbang kepada pelepasan karbon jika kereta yang digunakan bukan kereta elektrik.

Sistem pembayaran pintar dalam talian atau melalui aplikasi menjadikan penggunaan ruang letak kereta digunakan dengan lebih efisien serta mampu mengurangkan kesesakan di kawasan parkir.

Selepas digunakan secara meluas di Eropah, sistem tempat letak kereta pintar kini sudah mendapat tempat di Amerika Utara dan Forum Oliver Wyman meramalkan pertumbuhan besar dijangka berlaku, iaitu daripada USD700 juta pada 2020 kepada USD21 bilion menjelang 2030.

Pada masa depan, teknologi baharu berdasarkan satelit atau penderia yang ditanam di dalam tanah dibangunkan untuk mengenal pasti tempat letak kereta yang kosong dan menghantar data ke platform berasaskan awan seterusnya mempercepatkan perkhidmatan autonomi.

3. Merangka rancangan mobiliti hijau jangka panjang dan fokus pada rancangan tersebut

Untuk menjadikan mod mobiliti hijau baharu berfungsi dengan berkesan, langkah untuk menggalakkan penggunaannya perlu menjadi sebahagian daripada rancangan yang lebih luas.

Bandar raya besar seperti Paris telah pun mengambil langkah penggalakan penggunaan mod mobiliti hijau sebagai sebahagian daripada rancangan besar menjadikan ia bandar ’15 minit’

Bandar raya Paris misalnya telah pun melaksanakan strategi sedemikian. Pada 2020, ibu kota negara Perancis itu mengumumkan bahawa ia akan menjadi ‘bandar 15 minit’ apabila penduduknya boleh mendapatkan perkhidmatan penting dengan mudah menggunakan basikal atau berjalan kaki.

Begitu juga halnya dengan kota Amsterdam, Belanda yang mempunyai rekod cemerlang dalam aspek mobiliti bandar apabila pihak berkuasa membuat pengumuman pada 2019 untuk mengalihkan 11,000 tempat letak kereta menjelang 2025 bagi menjadikan bandar berkenaan lebih hijau dan lebih mudah diakses.

Usaha yang dilaksanakan turut digabungkan dengan strategi lain seperti menggalakkan orang awam menukar kereta persendirian dengan mobiliti yang boleh dikongsikan untuk tempoh satu (1) atau dua (2) bulan.

Namun demikian, untuk menjayakan penggalakan mod mobiliti hijau bukannya mudah dari sudut politik.

Sesetengah pengguna kenderaan tidak berpuas hati apabila tempat letak kereta dikurangkan. Brussels, sebagai contoh, sedang bergelut untuk memperluaskan rangkaian laluan basikal apabila mendapat aduan masyarakat bahawa tempat letak kereta yang murah dan atas jalan bakal hilang.

Para peniaga juga bimbang akan kesan pembinaan laluan basikal yang kekal sepanjang 180 kilometer antara tempoh 2021 hingga 2026 yang mungkin menjejaskan perniagaan mereka.

Oleh itu, penting untuk dasar penggunaan mobiliti hijau baharu dirangka dengan melihat dari sudut positif dan tidak menjejaskan penggunaan kenderaan yang lain.

- Advertisement -

Latest news

Inisiatif Kualiti HRD JTS Mempertingkatkan Kecekapan Perkhidmatan

Unit Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan kapasiti modal insan dan pelaksanaan inisiatif kualiti untuk mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
- Advertisement -

‘INSODERS’ Platform Pemantauan Data Pembangunan Sosial Lebih Efisien

Dalam usaha hendak meningkatkan kesejahteraan sosial, Pejabat Residen Bahagian Mukah menerusi Kumpulan IPOK telah memperkenalkan sistem pelaporan dan pemantauan data yang lebih efisien dikenali sebagai INSODERS (Integrated Social Development Reporting System).

A Leap Towards Sustainable Waste Management in Sarawak

The 3R Smart Community Station revolutionises waste management in Sarawak through technology and community participation. This initiative addresses waste challenges, fosters recycling habits, and aligns with sustainable development goals.

First Phase of KUTS Project in Full Swing

Progress of the ongoing Phase One of the Kuching Urban Transportation System is over 25 per cent as of November 2024, and is given an allocation of RM1.42 billion under the 2025 Sarawak Budget to maintain its momentum.

Related news

Inisiatif Kualiti HRD JTS Mempertingkatkan Kecekapan Perkhidmatan

Unit Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan kapasiti modal insan dan pelaksanaan inisiatif kualiti untuk mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

‘INSODERS’ Platform Pemantauan Data Pembangunan Sosial Lebih Efisien

Dalam usaha hendak meningkatkan kesejahteraan sosial, Pejabat Residen Bahagian Mukah menerusi Kumpulan IPOK telah memperkenalkan sistem pelaporan dan pemantauan data yang lebih efisien dikenali sebagai INSODERS (Integrated Social Development Reporting System).

A Leap Towards Sustainable Waste Management in Sarawak

The 3R Smart Community Station revolutionises waste management in Sarawak through technology and community participation. This initiative addresses waste challenges, fosters recycling habits, and aligns with sustainable development goals.

First Phase of KUTS Project in Full Swing

Progress of the ongoing Phase One of the Kuching Urban Transportation System is over 25 per cent as of November 2024, and is given an allocation of RM1.42 billion under the 2025 Sarawak Budget to maintain its momentum.
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here