Perkembangan media sosial seperti Facebook (Fb), Instagram (IG), Whatsapp, TikTok dan sebagainya sudah semakin pesat penggunaannya hasil daripada kemajuan teknologi.
Media sosial telah pun menjadi sebahagian daripada kehidupan kita kerana ia memainkan peranan penting dalam membolehkan kita berhubung dengan orang lain dari serata dunia.
Selain itu, menerusi media sosial juga, ia telah dapat membantu kita menjana pendapatan perniagaan secara dalam talian selain berfungsi sebagai satu alat yang digunakan untuk menyebarkan maklumat dengan cepat.
Dengan wujudnya media-media sosial ini, maka timbullah isu-isu privasi dan keselamatan data peribadi seperti penyalahgunaan data peribadi, penyebaran maklumat palsu, risiko keselamatan dan kandungan berbahaya.
Punca wujudnya isu privasi dan keselamatan data ini adalah disebabkan hal-hal seperti;
- Pengumpulan data yang besar;
Pelbagai jenis data dikumpulkan sehingga meningkatkan risiko privasi jika disalahgunakan dan wujudnya kebocoran.
- Kekurangan kesedaran pengguna;
Hal ini demikian kerana, pengguna kurang sedar untuk melindungi diri mereka.
- Kelemahan keselamatan media sosial;
Kebanyakan platform media sosial tidak mempunyai infrastruktur yang sempurna dan kurang pemantauan keselamatan yang aktif.
- Ketidaksamaan polisi dan undang-undang
Keseragaman dan kekuatan undang-undang berlainan antara negara dan ketiadaan piawaian global akan merumitkan.
Sebagai pengetahuan asas kita, sebarang maklumat tentang diri kita yang digunakan dalam transaksi atau urusniaga komersial berhubung secara langsung atau tidak langsung dan boleh direkodkan secara manual atau elektronik dikenali sebagai data peribadi.
Data peribadi meliputi maklumat asas dan juga maklumat sensitif seperti rekod perubatan dan tahap kesihatan.
Dunia ‘tanpa sempadan’ pada hari ini amat terbuka luas dan oleh yang demikian, kita sebagai pengguna siber haruslah sentiasa bijak dalam menjaga keselamatan data-data peribadi kita supaya tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.
Sebagai individu yang menyediakan data peribadi, kita dikenali sebagai subjek data, manakala pihak yang mengambil dan memproses data kita dikenali sebagai pengguna data.
Namun, ramai diantara kita yang tidak menyedari bahawa maklumat-maklumat data peribadi ini boleh memerangkap diri kita jika ia jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya.
Oleh itu, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) iaitu Akta 709 telah diwujudkan demi melindungi data peribadi kita daripada disalahgunakan oleh pihak tertentu dalam transaksi komersial.
APDP 2010 (Akta 709) merupakan salah satu bentuk perundangan siber yang diperakukan dalam pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC).
Akta ini merupakan matlamat Dasar Ke Sepuluh dinyatakan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu bagi menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.
Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi 2009 telah diedarkan pada September 2000 kepada agensi-agensi awam dan swasta untuk mendapatkan ulasan serta pandangan umum dan telah diluluskan oleh Parlimen pada 5 April 2010 dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 16 Jun 2010.
Objektif utama undang-undang ini adalah untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial oleh pengguna data dan melindungi kepentingan data peribadi umum.
Sehubungan itu, dalam dunia yang semakin didominasi oleh teknologi, privasi dan keselamatan data menjadi isu yang semakin penting.
Dengan peningkatan penggunaan internet dan aplikasi digital, maklumat peribadi individu sering kali terdedah kepada risiko.
Oleh itu, memahami cara melindungi data peribadi adalah kunci untuk menjaga keselamatan diri dalam talian.
Privasi dan keselamatan data adalah dua aspek penting dalam dunia siber yang saling berkaitan, tetapi mempunyai fokus yang berbeza.
Berikut merupakan beberapa tips yang boleh digunakan untuk melindungi privasi dan data peribadi;
- Dapatkan Rangkaian Persendirian Maya (Virtual Private Network, VPN)
VPN adalah perisian yang mampu menyulitkan data yang anda hantar dan terima secara dalam talian di samping dapat menyembunyikan alamat IP sebenar anda.
- Pasangkan Perisian Antivirus Pada Peranti Anda
Perisian antivirus yang cekap juga boleh membantu memastikan virus bewrbahaya seperti ‘ransomware’ dan seumpamanya tidak merosakkan komputer dan data anda.
- Gunakan kata laluan yang kukuh dan berbeza bagi setiap akaun dalam talian
Kata laluan yang kukuh perlulah unik dan bukanlah sesuatu yang boleh diteka oleh seseorang walaupun mereka memiliki maklumat peribadi anda.
- Berhati-hati ketika menggunakan WiFi awam
Penggodam boleh mengintip dan memintas apa sahaja yang anda lakukan apabila disambungkan pada WiFi percuma kerana rangkaian WiFi awam secara umumnya boleh diakses oleh orang ramai
- Sentiasa mengemaskini aplikasi dan sistem perisian peranti
Lakukan pengemaskinian aplikasi untuk telefon, komputer atau peranti anda secara berkala bagi mengelakkan ekslpoitasi atau potensi serangan oleh penggodam.
Jika anda menggunakan sistem perisian yang tidak dikemaskini seperti versi Windows yang lama, ia mempunyai risiko yang tinggi kerana penggodam boleh mengganggu privasi dalam talian anda.