Bandar pintar merujuk kepada bandar yang menerapkan teknologi terkini dan digital dalam usaha menangani masalah lazim seperti kesesakan lalu lintas, pencemaran, ancaman keselamatan penduduk dan bencana alam.
Pembangunan bandar pintar sangat memerlukan kemudahan teknologi Rangkaian Generasi Kelima (5G) untuk dapat menawarkan kelajuan data yang lebih pantas kerana ia bukan saja akan memberi impak positif kepada ekonomi negara, bahkan juga kepada kualiti kehidupan rakyat di negara kita.
Dengan adanya teknologi 5G, rakyat akan berpeluang untuk menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi dengan lebih berkesan sekali gus memberi nilai tambah kepada taraf hidup mereka.
Rangkaian 5G merupakan teknologi sambungan internet mudah alih generasi berikutnya yang menawarkan kelajuan yang lebih pantas dan sambungan lebih stabil pada peranti-peranti mudah alih.
Menggabungkan teknologi rangkaian termaju dengan peranti berspesifikasi tinggi terkini, 5G menjanjikan sambungan yang jauh lebih pantas berbanding dengan apa yang ditawarkan pada ketika ini.
Rangkaian ini juga bakal melonjakkan teknologi Internet Benda (IoT) melalui penyediaan infrastruktur yang mampu membawa data-data berkapasiti besar yang diperlukan dalam dunia yang saling berhubung.
Teknologi 5G dijangka dapat menyediakan tahap kelajuan dan kebolehpercayaan internet lebih tinggi yang membolehkan pemindahan data yang lebih pantas berbanding teknologi generasi terdahulu (3G dan 4G), sekali gus membawa perubahan besar dan memberi manfaat kepada gaya hidup masyarakat di negara ini.
Selain internet berkelajuan tinggi pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding 4G, pengaplikasian teknologi 5G juga mempunyai kadar lengahan (latency) rendah serta berupaya menghubungkan lebih satu juta peranti bagi setiap 1 kilometer (km) persegi.
Dengan kelajuan mencecah 1.5GB sesaat, teknologi 5G yang mempunyai lebih banyak keupayaan, akan melancarkan kualiti komunikasi, teknologi, penghantaran data, kajian dan hiburan di skala global serta gaya hidup lebih maju.
Muat turun filem pada kualiti HD misalnya, hanya akan mengambil masa beberapa saat berbanding 4G disebabkan kebanyakan rangkaian 5G dibina pada gelombang udara frekuensi tinggi atau spektrum jalur tinggi.
Malah, kadar lengahan rendah sekitar 1 milisaat berbanding 20 milisaat sebelum ini, akan mengurangkan isu sela masa ketika penyambungan antara peranti sekali gus membolehkan aktiviti yang memerlukan banyak data, tidak mengalami penangguhan data seperti sering dikaitkan dengan teknologi sebelum ini.
Dengan teknologi ini juga, satu juta peranti dapat dihubungkan pada keluasan satu km persegi berbanding hanya 1,000 peranti dalam keluasan sama melalui Evolusi Jangka Panjang (LTE).
Pengamatan kepada penerapan teknologi 5G akan menjadi tarikan pelabur, sekali gus menyediakan pekerjaan baharu bernilai tinggi dan membawa impak ekonomi positif ke atas negeri kita.
Potensi penggunaan dan manfaat 5G akan meliputi setiap aspek kehidupan seharian, dengan penggunaan teknologi dan data bagi meningkatkan kualiti hidup.
Misalnya sistem lalu lintas yang lebih baik menjadikan masa perjalanan lebih pendek, penggunaan utiliti dan sisa kitar semula dapat dioptimumkan, tindak balas kecemasan yang lebih cepat malah, sistem membeli-belah akan berbeza kerana persekitaran runcit dioptimumkan dengan ciri AR yang mendalam.
Contoh yang lain, mesin robotik yang menggunakan komunikasi antara mesin, sensor dan kamera industri 4K berkelajuan tinggi dapat meningkatkan kecekapan dan kebolehan dalam operasi, terutamanya dalam sektor pengilangan melalui pembuatan pintar.
Tidak ketinggalan juga, kereta dan bas pandu sendiri yang tidak pernah terlintas di fikiran kita akan menjadi kenyataan kerana semuanya dapat dijayakan dengan adanya gabungan teknologi 5G bersama sensor, kamera, radar dan AI yang membolehkan kenderaan bergerak sendiri tanpa kawalan manusia.
Dalam kalangan penduduk setempat pula, mereka dapat menerima manfaat dengan kewujudan bandar pintar dengan tersedianya capaian tanpa wayar tetap (fixed wireless access) dan jalur lebar mudah alih tertingkat (enhanced mobile broadband).
Capaian-capaian ini membolehkan para penduduk menggunakan peranti seperti mesin basuh, televisyen dan penghawa dingin pintar yang boleh dikawal dari jarak jauh.
Pada dasarnya, kesemua inisiatif bandar pintar yang sedang dan akan dilaksanakan adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membawa perubahan dalam kehidupan rakyat selaras dengan perkembangan teknologi masa kini.